SEGAMAT – Majlis Amanah Rakyat (Mara) disaran supaya terus membantu golongan bumiputera sama ada pelajar dan usahawan di negara ini secara konsisten agar terus mampu memberikan saingan ke arah kejayaan.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, ini kerana usaha untuk membantu usahawan dan pelajar bumiputera merupakan tanggungjawab sosial agensi tersebut dalam memastikan golongan ini dapat terus bersaing dalam bidang pelajaran dan perniagaan.

“Saya yakin Mara tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk terus memperkasa modal insan bumiputera sejak ia ditubuhkan 50 tahun lalu dan sepanjang tempoh ini, Mara telah mengambil pelbagai inisiatif sama ada dalam bidang pendidikan atau keusahawanan.

“Kerajaan berhasrat melahirkan lebih ramai golongan profesional bumiputera untuk menerajui bidang pendidikan dan pada masa yang sama kerajaan juga mempunyai aspirasi untuk melihat anak-anak Melayu mempelopori bidang keusahawanan dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Peningkatan Kemahiran Perniagaan ‘Mara@Komuniti’ 2017 peringkat negeri Johor di Balai Raya Kampung Paya Besar, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengarah Mara Negeri Johor, Teh Arfah Kamarul Zaman dan Pengarah Pengarah GiatMara Johor, Mohamad Merjuki Kasanwidi.

Menurutnya, tumpuan yang diberikan oleh Mara itu juga bertujuan agar perbezaan jurang pendidikan dan ekonomi kaum Melayu dan bumiputera di negara ini dapat membangun seiring bangsa lain tanpa berlaku sebarang keciciran.

“Seperti program ini, Mara akan terus mendekati masyarakat terutamanya mereka di luar bandar dan pedalaman untuk memperkenalkan program-program berkaitan kemahiran perniagaan.

“Selain itu, agensi-agensi pendidikan di bawah mara seperti GiatMara dan Kolej Tinggi Kemahiran Mara (KKTM) juga menyediakan peluang kepada para pelajar lepasan sekolah untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang kemahiran,” katanya.

Menurutnya, program sehari itu bertujuan mendekatkan Mara dengan masyarakat dan berlangsung selama sehari dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran, acara sukan serta kaunter bergerak untuk orang ramai.

(Visited 370 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!