SEGAMAT – Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di daerah ini diminta supaya memanfaatkan kemudahan i-Akaun yang kini boleh diakses secara atas talian menggunakan gajet yang dilengkapi kemudahan internet.

Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, hasil maklumat yang diperolehi daripada KWSP, beliau mendapat tahu ramai pencarum di daerah ini yang masih belum mengetahui kewujudan aplikasi i-Akaun tersebut.

“Aplikasi mudah alih ini juga membolehkan ahli menyemak penyata mereka dengan lebih cepat dan mudah serta memastikan majikan menghantar caruman KWSP dengan betul dan tepat pada masanya.

“Mengikut analisis saya sendiri dan maklumat yang saya terima sejak bertahun lalu, ada juga majikan yang menipu pekerja kononnya majikan telah mencarum, tetapi tidak ada rekod dengan KWSP dan aplikasi ini mampu membantu pencarum yang ditipu,” katanya.

Ayub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri berkata kepada pemberita selepas melancarkan kempen pendaftaran i-Akaun di Pejabat KWSP Segamat, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau juga mencadangkan agar KWSP mengadakan program berbentuk ‘turun padang’ secara kerap bagi mendekati masyarakat bekerja di kawasan pedalaman dan menerangkan cara terbaik merancang kewangan untuk hari tua mereka.

“KWSP juga merupakan salah satu badan yang menguruskan pencen terbesar di dunia dan pekerja yang mencarum di dalamnya juga dijamin tidak akan mengalami kerugian dari segi pelaburan.

“Kadar bunga dan deposit tetap yang diberi oleh KWSP juga adalah lebih tinggi berbanding bank-bank di negara ini dan sekiranya KWSP dapat menguruskan pelaburan dengan penuh berhemah dan berintegriti, maka kita jangka pulangan akan lebih bertambah,” katanya.

Pada masa sama, pengumuman kadar dividen KWSP 2016 sebanyak 5.70 peratus menunjukkan KWSP sentiasa cekap dan profesional dalam menguruskan wang dan faedah simpanan ahlinya.

Sementara itu, Ketua Cawangan KWSP Segamat, Amir Rudin Mansor berkata, pihaknya telah melakukan pelbagai promosi bagi menggalakkan pencarum membuka i-Akaun untuk menikmati pelbagai kemudahan secara atas talian.

“Sepanjang tahun lalu, KWSP Segamat mencatatkan sebanyak 55 peratus pencarum yang membuka i-Akaun dan sehingga bulan Februari tahun ini sahaja, sebanyak 33 peratus yang mendaftar dan ini adalah satu perkembangan yang baik.

“Perkhidmatan ini juga boleh dinikmati oleh majikan untuk mendaftar ahli baharu KWSP atau melakukan caruman secara atas talian berbanding pergi ke kaunter atau melalui cek,” katanya.

(Visited 305 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!