SEGAMAT – Majikan di daerah ini yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal berdepan tindakan tegas melalui ‘Ops Kesan’ yang akan dijalankan sepanjang bulan April ini.
Pengurus Perkeso Segamat, Roslinda Juanis berkata, sebelum ini pihaknya telah menggesa majikan yang belum mendaftar perusahaan dan mencarum pekerja mereka supaya berbuat demikian sepanjang tempoh pemutihan yang bermula dari 1 hingga 31 Mac ini lalu.
“Sekiranya majikan masih gagal berbuat demikian dan kemudiannya dikesan Perkeso, maka tindakan kompaun akan dikenakan dan pendakwaan juga akan dilakukan ke atas mereka terutamanya sepanjang Ops Kesan sepanjang bulan ini.
“Sepanjang tempoh operasi ini, pihak kami akan melakukan pemeriksaan terhadap majikan di daerah ini dan tidak akan menerima sebarang alasan kerana sebelum ini mereka telah diberikan tempoh yang cukup untuk mendaftar,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ops Kesan 2017 peringkat daerah Segamat di Pejabat Perkeso Segamat, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, semua majikan yang menggaji seorang atau lebih pekerja dikehendaki mendaftar dengan Perkeso dan mereka yang gagal boleh dijatuhkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Katanya, sepanjang tahun lalu juga, sebanyak 546 majikan di daerah ini telah dilawati dengan 295 daripadanya merupakan majikan baharu namun masih terdapat beberapa majikan yang ingkar disebabkan sikap suka bertangguh.
“Pada tahun lalu, sebanyak 58 majikan telah diambil tindakan dan pada tahun ini, kami akan bermula di sekitar Bandar Utama, Bukit Siput dan Segamat Baru sebelum bergerak ke kawasan-kawasan lain.
“Majikan juga perlu sedar akan tanggungjawab mereka, selain itu pekerja juga perlu tahu hak-hak mereka kerana kita tidak mahu sekiranya berlaku sebarang kemalangan melibatkan pekerja, mereka tidak dapat menikmati faedah daripada Perkeso,” katanya.
Comments