LABIS – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yakin sasarannya menjadikan negeri Johor sebagai negeri sifar fakir miskin dalam tempoh lima tahun akan datang mampu menjadi kenyataan.
Penasihatnya, Datuk Nooh Gadut berkata, sehubungan itu pihak MAINJ sedang giat menjalankan usaha mengenalpasti golongan tersebut melalui Jelajah Asnaf yang diadakan ke setiap seluruh pelusuk negeri ketika ini.
“Salah satu kaedah MAINJ untuk membantu golongan fakir ini adalah dengan menyalurkan wang kutipan zakat agar mereka boleh berdikari dan seterusnya keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Sebenarnya jumlah pengagihan wang zakat ketika ini adalah melebihi jumlah kutipan dimana jumlah agihan pada tahun 2016 dianggarkan sebanyak RM234 juta yang melibatkan 135,600 penerima berbanding hanya RM240 juta yang berjaya dikutip pada tahun 2015,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah Maulidur Rasul di Dewan Serbaguna Kampung Tenang, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim dan Setiausaha Kampung Tenang, Khairul Nizam Abdul Manap.
Menurutnya, bagaimanapun keadaan itu tidak menjejaskan usaha MAINJ untuk membantu golongan asnaf dan fakir miskin di negeri ini secara menyeluruh kerana pihaknya juga masih mempunyai lebihan dana yang masih boleh digunakan.
“Bantuan yang disalurkan oleh MAINJ bukan setakat keperluan harian mahu pun sara hidup, malah meliputi bantuan perubatan membina rumah serta pendidikan bagi memastikan mereka boleh berdikari.
“Terdapat peningkatan ketara tahap kesedaran umat Islam di negeri ini terhadap tanggungjawab membayar zakat yang menyaksikan jumlah kutipan zakat bertambah setiap tahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Menurutnya, beliau juga berharap peningkatan jumlah pembayar zakat dan jumlah kutipan akan terus berlaku pada masa akan datang selari dengan julah pengagihan kepada mereka yang memerlukan turut bertambah setiap tahun.
Katanya, MAINJ juga memerlukan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak terutamanya di peringkat akar umbi agar mengenalpasti golongan memerlukan di kawasan mereka bagi membolehkan bantuan disalurkan.
“Pemimpin di peringkat akar umbi seperti penghulu dan ketua kampung juga perlu sentiasa melaporkan kepada MAINJ nama mereka yang layak menerima bantuan bagi memastikan tiada sebarang pengabaian yang berlaku,” katanya.
Comments