LABIS – Pengguna dan penduduk setempat di Pekan Chaah, di sini, mahu pihak bertanggugjawab supaya membaiki dan menaiktaraf Terminal Pengangkutan Awam Chaah agar menjadi lebih selesa.
Tinjauan Komuniti Segamat ke kawasan tersebut baru-baru ini mendapati rata-rata pengguna di situ mengimpikan sebuah terminal bas yang moden dan lebih selesa untuk kegunaan penduduk tempatan dan pelancong yang datang.
Penduduk, M Kumar, 52, berkata, keadaan terminal tersebut kelihatan seperti tidak diurus dan diselenggara dengan baik sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna dan penduduk setempat.
“Walaupun terminal bas ini sudah beroperasi melebihi 10 tahun, keadaannya kurang mendapat sambutan dan sepatutnya pihak Majlis Daerah Labis (MDL) sudah menaik taraf terminal bas ini kerana bagi saya, ini aset penting yang perlu diberi perhatian.
“Bayangkan sekiranya sektor pelancongan di Bekok seperti Air Terjun Sungai Bantang dan Hutan Simpan Endau-Rompin Selai semakin berkembang, sudah semestinya terminal bas ini akan digunakan oleh pelancong bagi mendapatkan perkhidmatan bas awam,” katanya.
Menurutnya, penaiktarafan terminal ini sepatutnya disegerakan supaya ia memberi keselesaan kepada pelancong sekali gus memberi faedah kepada penduduk Chaah dan Bekok yang masih ramai menggunakan perkhidmatan bas awam.
Bagi Kamal Ariffin Ahmad, 48, berkata, disebabkan tidak mendapat sambutan daripada peniaga, beberapa lot gerai yang terdapat di tingkat atas terminal tersebut kini terbiar sepi tanpa ada sebarang gerai yang dibuka.
“Banyak gerai yang kosong sehingga terpaksa dikunci bagi mengelakkan daripada diceroboh atau menjadi tempat melepak tambahan pula kebanyakan siling di ruang niaga tersebut sudah bocor dan rosak.
“Beberapa tahun dahulu, terminal ini boleh dikatakan aktif kerana selain gerai makan, ada perkhidmatan pembayaran bil-bil utiliti dan tidak tahu di mana silapnya terminal ini semakin lengang dari hari ke hari,” katanya.
Menurutnya, dia juga berharap keadaan tandas di terminal tersebut dapat diselenggara setiap hari kerana ramai pengguna mengadu tandas tersebut berbau busuk selain pintu serta cermin tandas yang sudah rosak.
Sementara itu, Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, punca terminal ini menjadi lengang adalah disebabkan kurang pengguna bas dan teksi di kawasan tersebut selain meminta MDL untuk merangka satu pelan untuk membangunkan semula terminal berkenaan.
Comments