SEGAMAT – Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar daerah ini mula dinaiki air selain beberapa pusat pemindahan banjir telah dibuka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Ayub Rahmat berkata, sejak pukul 4.20 petang, semalam, sebanyak lima pusat pemindahan telah dibuka di Johor dengan menempatkan kira-kira 220 mangsa.

Menurutnya, empat pusat pemindahan telah dibuka di Segamat antaranya di Dewan Serbaguna Kampung Bukit Tunggal, Balairaya Kampung Melayu Raya, Dewan Kampung Gelang Chincin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun Tenang Stesen manakala satu pusat pemindahan telah dibuka di Balairaya Kampung Melepang, Tangkak.

“Daerah Segamat menjadi daerah pertama di negeri ini yang dilanda banjir pada tahun ini dan bilik operasi banjir juga telah dibuka di Majlis Daerah Segamat (MDS) petang tadi.

“Beberapa agensi keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan bomba juga turut memantau situasi banjir di daerah ini dan kita berharap situasi banjir ini tidak bertambah teruk,” katanya.

Beliau yang juga Adun Kemelah berkata kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat pemindahan banjir di Balairaya Kampung Melayu Raya, di sini, malam ini.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah menyediakan kelengkapan seperti pakaian, makanan, tilam serta selimut untuk keselesaan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan.

Pada masa sama, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Segamat juga telah diarahkan untuk sentiasa melakukan pemeriksaan dan memantau tahap perkembangan kesihatan mangsa banjir di setiap pusat pemidnahan.

“Ini bagi memastikan tahap kesihatan mangsa tidak terjejas kerana kita risau penyakit berjangkit terutamanya penyakit bawaan air lebih mudah merebak pada musim banjir seperti taun dan demam kepialu.

“Lebih penting, ahli keluarga atau ahli jawatankuasa di pusat pemindahan perlu tahu simptom-simptom penyakit ini supaya mudah diberi rawatan awal bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih parah,” katanya.

(Visited 1,217 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!