SEGAMAT – Lima mangsa banjir di Kampung Seberang Batu Badak, di sini, melahirkan rasa syukur dan terharu apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membinakan rumah baharu untuk mereka.
Salah seorang penerima, Raja Shahrin Tengku Ismail, 50, berkata, perkara tersebut diketahuinya apabila Sultan Ibrahim mencemar duli melawat mereka di pusat pemindahan banjir awal tahun ini.
“Ketika itu, baginda bertitah agar Majlis Agama Islam Johor (Maij) menggunakan wang zakat untuk membina rumah kepada saya dan empat lagi mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan.
“Alhamdulillah, bermula Mac lalu kerja-kerja membina rumah tersebut telah mula dilakukan dan saya tidak tahu bagaimana untuk menzahirkan perasaan terima kasih saya dan keluarga,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurut bapa kepada lima anak itu, dia yang bekerja sebagai nelayan sungai tidak mampu dan tidak pernah bercadang untuk membina atau mengubahsuai rumah peninggalan keluarganya ekoran tiada kemampuan untuk melakukan perkara tersebut.
Bagi warga emas, Habshah Dol, 78, berkata, dia menganggap pembinaan rumah tersebut sebagai ‘rezeki terpijak’ kerana sebelum ini kerajaan turut membinakannya rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Mak cik memang setiap tahun menjadi mangsa banjir dan mak cik berharap rumah baharu yang sekali ganda lebih tinggi daripada rumah mak cik yang sekarang mampu menyelamatkan mak cik daripada banjir.
“Sultan Ibrahim memang sultan yang berjiwa rakyat kerana setiap kali mak cik menjadi mangsa banjir dan ditempatkan di pusat pemindahan, baginda pasti akan melawat kami dan mak cik tidak sangka baginda ingin membinakan kami rumah baharu,” katanya.
Sementara itu, Kadi Daerah Segamat, Sulaiman Maiden berkata, pembinaan rumah tersebut di bawah projek Rumah Bantuan Bina Baharu Rumah Terapung yang setiap satunya bernilai RM100,000.
Menurutnya, rumah tersebut yang disumbangkan oleh Maij manakala lima kontraktor dilantik juga telah memulakan kerja-kerja pembinaan pada 10 Mac lalu yang dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mei ini .
“Rumah ini dilengkapi dengan tiga bilik dan diyakini akan memberi keselesaan kepada mangsa banjir di Kampung Seberang Batu Badak selain kedudukan rumahnya yang dibina lebih tinggi berbanding rumah asal,” katanya.
Comments