LABIS – Sebut sahaja barang percuma, siapa yang mendengarnya pasti akan teruja apatah lagi dengan peningkatan harga barang ketika ini perkataan ‘percuma’ itu mampu memberi kelegaan kepada mereka yang memerlukan.

Justeru, Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Labis muncul dengan inisiatif untuk membantu golongan asnaf dengan menyediakan barangan keperluan harian secara percuma melalui ‘Lemari Barokah’.

Pengerusinya, Haslinda Salleh berkata, istimewanya, Lemari Barokah yang menempatkan satu rak khas dan diletakkan di Masjid Jamek Labis, di sini, juga memberi peluang kepada si pemberi ‘berkongsi rezeki dan pahala’ bagi membantu orang miskin mendapat makanan.

“Kami dengan kerjasama pihak masjid menyediakan sebuah rak yang dilengkapi barangan keperluan asas termasuk barang kering seperti minyak masak, sardin, susu pekat, biskut dan beras untuk diambil oleh mereka yang terputus bekalan makanan.

“Kami letakkan juga susu bayi dan lampin pakai buang dengan anggaran setiap bulan dibelanjakan RM150 dan kerjasama daripada pihak masjid memudahkan kami memantau dan mendapat maklumat untuk menambah stok sekiranya kehabisan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Lemari Barokah oleh Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim di Masjid Jamek Labis, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, selain membantu golongan memerlukan, usaha ini juga memberi kesedaran kepada orang awam terutamanya mereka yang beragama Islam untuk menyalurkan bantuan terhadap mereka yang memerlukan mengikut kemampuan sendiri.

“Sesiapa sahaja yang tidak berkemampuan hanya perlu menulis nama mereka di buku yang disediakan sebelum mengambil sumbangan orang ramai dan setakat ini saya mendapat maklum balas yang baik berkenaan program ini.

“Ada ketika mereka yang memerlukan ini tidak mempunyai wang, malah anak-anak makan ala kadar kerana barang dapur kehabisan, jadi ini tujuan penubuhan Lemari Barokah kerana kita menyediakan keperluan barangan dapur dan keperluan harian secara percuma,” katanya.

Menurutnya, berpegang dengan prinsip ‘Sedikit Memberi Banyak’, beliau percaya program ini mampu membantu golongan sasar dan berharap lebih ramai penyumbang menjelang bulan Ramadan dan Syawal yang akan datang ini.

Mampu imarahkan institusi masjid

Sementara itu, Imam Masjid Jamek Labis, Abdul Rafar Yusof berkata, beliau melihat penempatan Lemari Barokah yang diletakkan di masjid ini mampu menjadikan masjid bukan sahaja tempat beribadat tetapi sebagai pusat untuk membantu mereka yang memerlukan.

Katanya, beliau turut berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan kegunaan rak tersebut dan tujuan buku rekod itu juga membolehkan pihaknya mengenal pasti keluarga susah sebelum bantuan bersesuaian diberikan.

“Bila Lemari Barokah itu ada di masjid, ia menggalakkan kariah untuk sama-sama menyumbang dan kami tak harapkan barang yang mahal, cukuplah asalkan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

Haslinda (empat, kanan) sewaktu pelancaran Lemari Barokah.

“Lemari Barokah ini diuruskan oleh lima sukarelawan terdiri daripada lepasan sekolah dan mereka yang terputus bekalan juga, perlu berjumpa imam atau pihak masjid terlebih dahulu dan kami mengalukan sumbangan perseorangan dan pihak korporat,” katanya.

Menurutnya, biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti kecurian serta pengambilan tanpa kawalan, akui Abdul Rafar, apa yang penting adalah kerjasama antara jemaah masjid dan MPWK Parlimen Labis bagi menguruskan kes-kes terpencil seperti itu.

Katnya, bagi mengatasi kejadian itu, lazimnya gerobok yang menempatkan keperluan barangan makanan berkenaan diletakkan di kawasan yang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan pemantauan.

“Kamera ini bukan untuk disiarkan pada umum, cuma kita mahu perhatikan adakah mereka yang mengambil keperluan berkenaan benar-benar memerlukan dan jika mereka tercicir daripada golongan asnaf, kita akan salurkan maklumat pada zakat,” katanya.

(Visited 548 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!