SEGAMAT – Setiap kali banjir melanda, empat keluarga di Kampung Chodan, di sini, lebih selesa berteduh di khemah kanopi di kawasan bukit berhampiran berbanding tinggal di pusat pemindahan yang agak jauh dari rumah mereka.
Jamiluddin Idris, 45, berkata, dia bersama isteri dan tiga anak berusia di antara sembilan hingga 22 tahun dan tiga keluarga jiran seramai tujuh orang selalunya dibantu penduduk untuk memasang khemah dan memunggah barangan rumah sebaik paras air mulai naik.
“Kami mempunyai alasan tersendiri untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan kerana setiap kali banjir, air di dalam rumah kami mencecah kedalaman dua meter dan kami terpaksa memunggah semua barang ke bukit ini bagi mengelakkannya rosak atau musnah.
“Kawasan rumah kami merupakan kawasan yang paling awal dinaiki air dan paling lewat untuk air surut, dan salah satu sebab kami mengambil keputusan berteduh di khemah ini bagi mengelakkan barang-barang berharga hilang atau dicuri,” katanya.
Menurutnya, setakat ini kawasan bukit tersebut tidak pernah dinaiki air membuatkan mereka sekeluarga berasa selamat walaupun selalunya terputus hubungan kerana jalan yang menghubungkan kampungnya dengan bandar Segamat dinaiki air lebih satu meter.
Sementara itu kakaknya, Azlina Idris, 47, berkata, walaupun mereka tidak berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan, namun pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetap menghantar bantuan bekalan makanan.
“Walaupun jalan yang menghubungkan kampung kami terputus hubungan ketika banjir, kakitangan JKM tetap berusaha menghantar bekalan makanan menggunakan bot bagi memastikan bantuan sampai kepada kami dan jika memerlukan, jawatankuasa serta penduduk kampung yang akan menaiki bot menyeberangi banjir untuk mengambil bantuan di lokasi yang ditetapkan.
“Saya sekeluarga dan jiran lain sudah biasa berteduh di khemah setiap kali musim banjir dan tidak bercadang untuk berpindah ke pusat pemindahan pada masa akan datang kecuali terpaksa atas faktor keselamatan,” katanya.
Sementara itu, jirannya, Rasimah Yahya, 34, berkata, dia mengakui berasa selesa berteduh di khemah tersebut dan merasakan hubungan mereka lebih akrab apabila melakukan kerja-kerja yang melibatkan kerjasama semua seperti memasak.
“Kami sudah lali dengan banjir dan kami tidak kisah bermalam di dalam khemah walaupun seperti agak kurang selesa bagi pandangan orang lain yang tidak pernah melihat keadaan seperti ini kerana mereka sudah biasa melihat keadaan di pusat pemindahan.
“Namun, kami juga perlu berhati-hati kerana haiwan berbisa seperti ular, lipan serta kala jengking juga mencari tempat tinggi selepas habitat mereka ditenggelami air dan setakat ini kami tidak pernah diganggu oleh binatang berbisa,” katanya.
Comments