SEGAMAT – Pengalaman berhadapan dengan bencana banjir sejak daripada dahulu lagi menyebabkan sebuah keluarga di Kampung Chabong, Pogoh, di sini sudah bersedia daripada awal lagi.

Mohd Zain Ali, 72, berkata, dia sudah lali dengan bencana banjir di kawasannya ekoran dibesarkan di kawasan berkenaan yang sememangnya terdedah dengan risiko banjir semenjak dahulu.

“Kawasan di sini memang agak rendah berbanding kawasan di tempat lain dan menjadikannya bertambah teruk apabila dekat pula dengan sungai dan apabila air sungai melimpah, kawasan rumah pak cik juga akan banjir kerana air tersebut akan melalui kawasan rumah ini.

“Sebenarnya, sejak hari pertama hujan lagi minggu lalu, pak cik sudah mengemas barang untuk diletakkan di tempat tinggi, dan pada hari kedua hujan, air sudah mula naik dan pak cik mengambil keputusan untuk tinggal di rumah anak,” katanya.

Menurutnya, selepas pusat pemindahan banjir di Balai Air Bah Paya Pulai, di sini, dibuka untuk mangsa banjir, dia bersama isterinya, Khalizah Yusuf, 67, mengambil keputusan untuk mendaftar masuk di pusat pemindahan tersebut.

Sementara itu, Khalizah berkata, walupun sempat menyimpan barang-barangan berharga, air yang naik terlalu cepat menyebabkan beberapa barangan termasuk sebuah kereta yang dihadiahkan oleh anaknya ditenggelami air.

“Sebelum ini, sekiranya berlaku banjir, saya terpaksa meminta bantuan daripada cucu-cucu saya untuk mengemas dan membersihkan rumah kerana kudrat saya dan suami sudah terbatas dan tidak boleh mengangkat berat.

“Bagaimanapun, kehadiran sukarelawan sedikit sebanyak meringankan beban kami yang sebelum ini hanya membersihkan lumpur menggunakan tangan berbanding mereka yang mempunyai peralatan lengkap,” katanya.

Menurutnya, dia juga mengakui banjir yang berlaku pada tahun ini tidaklah seteruk tahun 2011 apabila kedalaman air pada banjir kali ini hanya sedalam kira-kira dua meter berbanding empat meter pada tahun 2011.

Program bantuan pasca banjir tersebut yang disertai kira-kira 30 sukarelawan daripada pelbagai pihak Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Amona Infra Care Sdn. Bhd. turut membantu membersihkan rumah mangsa yang terjejas banjir, baru-baru ini.

(Visited 274 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!