Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, usaha ini selaras dengan kehendak kerajaan negeri untuk menjadikan daerah ini sebagai hub pertanian selain mempelbagaikan lagi fungsi dan peranan ladang rusa tersebut.
“Selepas ini orang ramai akan berpeluang untuk melihat dan mempelajari dengan lebih dekat cara menternak rusa di ladang tersebut dengan kadar bayaran minima sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan nanti.

“Selain turut berpotensi menjadi salah satu daya tarikan agro pelancongan di daerah ini, saya juga menjangkakan ladang ini akan menjadi pusat kajian ternakan rusa di negeri ini dan pada masa sama menjadi pengeluar serta pembekal daging rusa,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Mini Agro Johor peringkat daerah Segamat di Dataran Labis, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong; Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim dan Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad.
Menurutnya, projek pertanian yang diusahakan di daerah ini juga perlu dipelbagaikan lagi fungsinya dan tidak terhad sebagai pengeluar makanan sahaja sebaliknya boleh dijadikan daya tarikan pelancongan serta projek hiliran yang mampu memberi pulangan lumayan.
“Penduduk di sini harus sentiasa peka dan kreatif merebut peluang yang ada kerana kita tidak mahu penduduk setempat hanya menjadi pemerhati dan berbangga dengan kejayaan orang luar menikmati kejayaan yang sepatutnya menjadi milik kita.
“Kita harus membuka minda untuk menilai bidang pertanian dengan lebih positif kerana bidang ini terlalu luas dan tidak terhad kepada aktiviti tanaman mahupun ternakan semata-mata, malah melibatkan pelbagai bidang perniagaan lain,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa penduduk daerah ini merebut peluang untuk mengusahakan sebarang projek pertanian kerana pelbagai peruntukan telah disediakan oleh kerajaan dan agensi berkaitan untuk membantu usahawa-usahawan industri asas tani (IAT).
Comments