SEGAMAT –Jabatan Pertanian Negeri Johor disarankan agar mengumpul data dan maklumat terkini para penerima bantuan di bawah Program Galakan Usahawan (PGU) bagi memudahkan kerajaan negeri melihat keberkesanan program tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, ini kerana kerajaan negeri mahu melihat status para penerima bantuan tersebut.
“Program ini (PGU) telah dijalankan lebih 10 tahun dan disebabkan itu kita hendak melihat taraf hidup para penerima bantuan sama ada mereka masih berada di dalam keadaan sama seperti sebelum ini ataupun sudah berubah.
“Malah, usaha ini juga mampu mengenalpasti sebarang kelemahan untuk diberi penambahbaikan pada masa akan datang selain boleh dijadikan panduan serta perkongsian maklumat dalam kalangan mereka untuk meneroka peluang-peluang baharu,” katanya.
Beliau yang juga Adun Kemelah berkata demikian dalam ucapannya sewaktu merasmikan Penyampaian Sijil Kelulusan PGU dan Benih Tanaman Peringkat Dun Kemelah di Dewan Serbaguna Kampung Paya Pulai, di sini, baru-baru.
Turut hadir ialah Pegawai Pertanian Daerah, Nor Akmal Abdullah dan Penghulu Mukim Pogoh, Hamzah Abu Bakar.
Menurutnya, Johor juga merupakan satu-satunya negeri yang menyediakan skim bantuan PGU yang disalurkan kerajaan melalui Jabatan Pertanian bertujuan melahirkan dan meningkatkan produktiviti serta taraf hidup mereka.
“Kita tidak mahu bantuan diberikan tetapi tiada sebarang pemantauan yang dilakukan oleh agensi yang bertanggungjawab sehingga ada di kalangan penerima mensia-siakan peralatan atau mesin yang diberi.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta kepada setiap Adun di negeri ini untuk PGU, dan di Dun Kemelah, bantuan yang diberikan adalah bantuan tanaman dan peralatan pertanian,” katanya.
Pada masa sama, beliau mahu satu pusat pemasaran setempat hasil dan produk hiliran pertanian diwujudkan di daerah ini selari dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan daerah Segamat sebagai daerah pertanian.
Katanya, pusat pemasaran ini akan memudahkan bukan sahaja usaha memasarkan hasil pertanian, malah boleh dijadikan sebagai salah satu lokasi daya tarikan kepada pelancong berkunjung ke sini seperti yang dilakukan di luar negara.
“Selain pihak Johor Corporation (JCorp) dan Johor Biotech (J-Biotech), pihak Lembaga Nanas Malaysia (LNM) juga telah bersetuju untuk membangunkan ladang nanas di daerah ini dan ini akan membantu merealisasikan daerah Segamat sebagai daerah pertanian,” katanya.
Comments