SEGAMAT – Kegiatan sebuah premis perniagaan di Segamat Baru, di sini, yang menjalankan aktiviti menjual gas petroleum cecair (LPG) secara haram dapat dihidu pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Segamat, baru-baru ini.
Ketua Cawangannya, Md Nazri Sarian berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 7.30 petang itu, pihaknya berjaya merampas 132 tong LPG yang terdiri daripada 111 unit tong 14 kilogram (kg) dan 21 unit tong 12 kg.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, kami telah menyerbu premis tersebut dan ketika serbuan dilakukan juga terdapat beberapa pekerja sedang memunggah tong-tong gas memasak ke dalam premis yang dijadikan sebagai stor simpanan dan pengedaran gas tersebut.
“Seorang suspek lelaki yang berumur lingkungan 50an juga telah dikenalpasti sebagai pemilik premis juga telah ditahan bagi diambil keterangan dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM13,278,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita sewaktu sidang media di Pejabat KPDNKK Segamat, di sini.
Menurutnya, suspek juga akan disiasat di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjalankan perniagaan barang-barang kawalan tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan.
“Sekiranya sabit kesalahan, suspek boleh dihukum di bawah Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu jika individu boleh didenda sebanyak RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“LPG ini merupakan salah satu barang bersubsidi yang perlu dikawal dan hasil rampasan tong LPG ini merupakan yang pertama di daerah Segamat pada tahun ini,” katanya.
Pada masa sama, sehingga Julai tahun ini, pihaknya telah berjaya menghasilkan 58 kes dengan nilai kompaun diterima sebanyak RM18, 700 berbanding hanya 38 kes dengan nilai kompaun RM14,150 sepanjang tahun 2016.
“Manakala, jumlah aduan yang diterima sehingga bulai Julai 2017 adalah sebanyak 36 aduan berbanding sebanyak 107 aduan yang diterima bagi tahun ini dan kita menjangkakan jumlah aduan tersebut akan terus meningkat.
“Saya harap orang ramai di daerah ini dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak kami jika terdapat sebarang penyelewengan yang melibatkan kepengunaan dan barang-barang kawalan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Comments