SEGAMAT – Usaha Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mewujudkan Kelab Generasi Muda Risda (KGMR) pada tahun 2012 telah berjaya mewujudkan pengkalan data generasi muda pekebun kecil khususnya di negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, sehingga 29 Februari 2016, seramai 1,704 ahli KGMR di negeri Johor berjaya didaftarkan dengan pecahan 1,054 lelaki dan 650 perempuan.

“Langkah Risda mewujudkan KGMR ini sejak telah berjaya melahirkan generasi pelapis pekebun kecil yang berjaya dalam bidang keusahawanan tani sekali gus menambah pendapatan keluarga mereka.

“Ini merupakan usaha murni Risda dan di sebalik kejatuhan harga komoditi getah, pelbagai inisiatif baharu telah diberikan oleh kerajaan terhadap pekebun getah dan generasi muda bagi memastikan nasib mereka tidak terabai,” katanya.

Ayub (dua,kiri) menyerahkan sijil penyertaan kepada salah seorang ahli KGMR daerah Segamat.
Ayub (dua,kiri) menyerahkan sijil penyertaan kepada salah seorang ahli KGMR daerah Segamat.

Beliau yang juga Adun Kemelah berkata kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keusahawanan KGMR Peringkat Daerah Segamat di Dewan Kolej Komuniti Segamat.

Turut hadir ialah Pengarah Risda Negeri Johor, Mohamad Sahlan Mahnoon, Pengarah Kolej Komuniti Segamat, Zazali Lazin dan Pegawai Risda Daerah Segamat, Nor Afzami Isa.

Menurutnya, bagi daerah Segamat pula, Risda mempunyai seramai 350 ahli KGMR iaitu 277 lelaki dan 73 perempuan manakala seramai 158 ahli Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) daripada 19 PWPK di daerah ini.

“Risda juga sedang berusaha untuk menambah jumlah ahli dan semua program yang dilaksanakan oleh mereka merupakan usaha untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.

“Melalui KGMR, generasi muda pekebun kecil akan dikumpulkan di bawah satu organisasi bagi membolehkan Risda memberi kesedaran tentang peluang dan potensi kerjaya di bidang pertanian dan keusahawanan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Sahlan berkata, selain memastikan bidang tanam semula getah atau dilaksanakan dengan berjaya, Risda juga menjadikan bidang keusahwanan sebagai bidang kedua selain daripada tanam semula.

Menurutnya, ini bagi memastikan pendapatan pekebun kecil bukan sahaja bergantung semata-mata kepada tanaman getah dan Risda ingin mempelbagaikan sumber pendapatan pekebun kecil bagi merealisasikan pendapatan pekebun kecil sebanyak RM4,000 sekeluarga sebulan.

“Bagaimanapun, usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah sekiranya kami tidak mendapat kerjasama dari golongan sasar terutama generasi muda yang kurang berminat menceburi bidang pertanian dan keusahawanan.

“Banyak bidang keusahawanan yang boleh diceburi sekarang dan di antara bidang keusahawanan yang berpotensi tinggi seperti pendawaian elektrik, pertukangan kayu pallet, kimpalan besi dan sebagainya,” katanya.

(Visited 276 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!