SEGAMAT – Pengunjung yang pertama kali datang ke daerah Segamat melalui pekan Yong Peng pasti akan menoleh untuk kali kedua apabila melintasi Kampung Desa Temu Jodoh, Chaah, dekat sini, disebabkan oleh keunikan namanya.
Perkampungan yang dibuka kira-kira 30 tahun lalu itu terletak kira-kira 20 kilometer (km) dari pekan Yong Peng, Batu Pahat dan 60 km dari Bandar Segamat dan terletak di antara sempadan daerah Segamat dan Batu Pahat.
Kampung itu dikatakan mendapat nama sempena majlis perkahwinan secara serentak membabitkan 24 pasangan suami isteri, yang kebanyakannya peserta Tanah Rancangan Muda kelolaan kerajaan negeri Johor pada sekitar tahun 1972.
Mula dibuka pada 30 Oktober 1972
Ketua kampungnya, Paiman Anuar, 67, berkata, pada asalnya Kampung Desa temu Jodoh ini dikenali sebagai Tanah Rancangan Pemuda dan seramai 112 belia dipilih oleh kerajaan negeri Johor untuk meneroka kawasan seluas 420 hektar pada 30 Oktober 1972.
“Kawasan tersebut diteroka untuk dijadikan kawasan pertanian dan kebanyakannya menjurus kepada tanaman kelapa sawit. Pada ketika itu, kesemua peserta lelaki mahupun wanita rancangan berkenaan tidak dibenarkan berkahwin selama lima tahun mengikut syarat ditetapkan.
“Saya sendiri merupakan salah seorang peserta yang sehingga kini menetap di sini dan ketika itu kami menerima elaun harian sebanyak RM6 dan wang saku itu diberi sehingga tanaman kelapa sawit boleh dijual serta mendatangkan keuntungan,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, terdapat dua peringkat pengambilan peserta Rancangan Tanah Muda itu iaitu fasa pertama dan kedua dan setiap fasa jumlah maksimum peserta yang diambil adalah seramai 60 orang.
Menurutnya, kerajaan negeri yang bersimpati dengan kesemua peserta yang tinggal di dua asrama kecil kemudian memberikan 0.8 hektar tanah kepada mereka untuk dijadikan tapak perumahan dan RM1,500 sebagai kos bagi mendirikan kediaman masing-masing.
Perkenalan dengan peserta beliawanis
Bagaimanapun, sebaik kesemua peserta yang kebanyakannya bujang mendirikan rumah masing-masing, mereka mula berasa sunyi dan kesepian sehingga mendorong kesemua mereka untuk mencari isteri dan berkahwin.
“Kebetulan pada ketika itu tidak jauh daripada sini (Desa Temu Jodoh) terdapat puluhan peserta beliawanis bagi program yang sama dan ketika itu mereka (beliawanis) baharu sahaja menyertai program tersebut.
“Jadi, kami peserta lelaki ada yang dihantar ke kawasan beliawanis tersebut untuk membantu dan menyediakan garis panduan penanaman kepada mereka dan dari situ bermulalah sejarah awal kampung ini,” katanya.
Menurutnya, perkenalan awal di tempat kerja kemudiannya berlanjutan sehingga menerbitkan rasa kasih dan sayang sehingga ada di antara mereka yang mengambil keputusan mahu segera berkahwin.
Katanya lagi, sebaik sahaja syarat utama yang tidak membenarkan mereka berkahwin selama lima tahun tamat, kebanyakan daripada mereka bersepakat untuk mendirikan rumah tangga secara beramai-ramai.
“Pada mulanya, hanya empat pasangan sahaja yang mahu mendirikan rumah tangga dan berita tersebut kemudian tersebar meluas sehingga sampai kepada pengetahuan pengurus tanah rancangan kami.
“Tanpa disangka-sangka, 21 pasangan lagi dipanggil untuk berjumpa pengurus dan sebuah majlis persandingan secara besar-besaran dirancang bagi menimbulkan keunikan selain memudahkan kami ketika itu,” katanya.
Perbelanjaan kahwin ditanggung sepenuhnya oleh Menteri Besar Johor
Tambah menguntungkan, kesemua 24 pasangan mempelai yang disandingkan pada 27 Februari 1977 itu apabila Menteri Besar Johor pada ketika itu, Tan Sri Othman Saat menanggung sepenuhnya segala perbelanjaan perkahwinan termasuk pakaian dan pelamin.
Menurutnya, pada ketika itu kebanyakan peserta lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, malah gaji diterima sekitar RM150 sebulan dan agak kecil serta menyukarkan mereka untuk berumah tangga.
“Pada majlis berkenaan, sebanyak 24 pelamin didirikan di padang bola kampung dan kami semua diarak menaiki kereta wakil rakyat seluruh negeri Johor ke Masjid Jamek Daerah Segamat untuk dinikahkan secara beramai-ramai.
“Ketika Tan Sri Othman mengucapkan tahniah kepada kami, dia secara spontan menyebut mahu menukar Tanah Rancangan Pemuda kepada Desa Temu Jodoh dan sehingga kini nama tersebut kekal unik sebegitu,” katanya.
Menurut bapa kepada empat anak itu,dia juga merupakan salah seorang daripada 24 pengantin yang diraikan ketika itu apabila dia bertemu jodoh dengan isterinya, Maimunah Mad Hussein, 64.
Selepas 37 tahun berlalu, kampung tersebut yang terletak betul-betul bersebelahan dengan jalan utama Yong Peng-Segamat masih lagi mendapat perhatian daripada orang luar yang ingin mengetahui tentang sejarah dan keunikan kampung tersebut.
Menurutnya lagi, Kampung Desa Temu Jodoh sekarang sudah mengalami banyak perubahan termasuk pembinaan sebuah mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Giatmara dan masjid yang dirasmikan sendiri oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada tahun 2012.
Comments