SEGAMAT – Kerja-kerja menaiktaraf Hospital Daerah Segamat (HDS) melibatkan fasa pertama dijangka akan bermula hujung tahun ini selepas proses pemilihan kontraktor yang layak dibuat oleh Kementerian Kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, untuk kerja-kerja fasa pertama, peruntukan sebanyak RM90.5 juta telah diluluskan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Mungkin kita akan memanggil 10 syarikat yang berdaftar dan layak untuk mengemukakan sebut harga dan hanya satu kontraktor yang menepati kehendak Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan dipilih melakukan kerja-kerja naik taraf ini.

“Untuk fasa pertama ini, antara kerja-kerja yang terlibat adalah menaiktaraf dewan bedah, unit rawatan rapi (ICU) dan wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Johor Care (JCare) Peringkat Negeri di Dataran Segamat, baru-baru ini.

Menurutnya, secara keseluruhan, kerja-kerja naik taraf HDS melibatkan empat fasa dan pada awalnya setiap fasa menelan kos RM100 juta dan menjadikan jumlah keseluruhan pembinaan projek berkenaan adalah sebanyak RM400 juta.

Katanya, fasa-fasa lain adalah melibatkan pengambilalihan tanah Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk dibina pejabat pengurusan dan kuarters kakitangan hospital yang terletak bersebelahan HDS.

“Kerja-kerja naik taraf yang dilakukan oleh kerajaan ini merupakan projek berimpak tinggi dan sebagai salah satu usaha dalam memenuhi keperluan penduduk di daerah ini sekaligus menawarkan kemudahan kesihatan yang paling maksimum.

“Ketika ini HDS juga menawarkan perkhidmatan dalam 11 bidang kepakaran seperti pakar mata, pakar perubatan, pakar kanak-kanak dan pakar pembedahan dan kerja-kerja naik taraf ini akan membantu apabila HDS menjadi hospital pakar sepenuhnya nanti,” katanya.

(Visited 570 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!