SEGAMAT – Dua pasangan kembar masing-masing seiras dan tidak seiras yang kini sedang melanjutkan pelajaran ke Kolej Komuniti Segamat (KKS) nekad untuk mengubah masa hadapan mereka melalui bidang kemahiran.
Bagi pasangan kembar seiras, K Sethukumaran, 22, dia dan adiknya, K Sethubalan yang berasal dari Negeri Sembilan memilih untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Komuniti selepas memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2013.
“Ketika itu, keputusan peperiksaan kami tidak begitu cemerlang dan kami kemudian memohon ke Kolej Komuniti dan tidak sangka saya diterima di KKS manakala adik di Kolej Komuniti Jasin masing-masing dalam kursus Sijil Sistem Komputer dan Sokongan.
“Selepas memperolehi sijil, pada tahun 2015 kami bercadang untuk meneruskan ke peringkat diploma dan KKS menjadi pilihan kami ketika itu kerana menawarkan Diploma Keselamatan Teknologi,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, pada awalnya dia mengakui ramai rakan-rakannya termasuk pensyarah keliru kerana tidak dapat membezakan dia dan adiknya dan turut menggelar mereka dengan watak animasi ‘Upin Ipin’ kerana sering bersama ke mana sahaja.
Sementara itu K Sethubalan berkata, walaupun pelajar India merupakan pelajar minoriti di KKS kerana bilangan yang sangat kecil, dia bersyukur kerana rakan-rakannya menerima kehadirannya dengan abangnya itu dengan hati terbuka.
“Sebenarnya kami merupakan pasangan kembar tiga dan seorang lagi pasangan kembar kami, K Sethuvelan juga sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Selayang dalam jurusan Diploma Games Art.
“Kami memang cenderung ke arah teknologi dan saya dan abang juga sudah menyiapkan projek akhir kami iaitu ‘Multi Stage Alarm System’ yang mempunyai dua lapisan keselamatan iaitu di luar dan dalam,” katanya.
Katanya, dia dan abangnya yang kini berada pada semester empat juga menyimpan hasrat masing-masing untuk menjadi pegawai penyiasat dan pakar keselamatan teknologi selepas menamatkan pengajian kelak.
Bagi pasangan kembar tidak seiras, Muhammad Hanaffi Zambre, 19, dia dan adiknya, Muhammad Haffiz baharu berada pada semester pertama selepas mendaftarkan diri pada bulan November tahun lalu dalam kursus Sijil Pemasangan Elektrik.
Menurutnya, dia yang berasal dari Kampung Melayu Raya, di sini, berkata, hasrat untuk menyambung pengajian timbul selepas kontraknya sebagai penjaga gol bawah 19 tahun Felda United tamat pada bulan November tahun lalu.
“Sepatutnya Haffiz sudah terlebih dahulu mendaftar pada bulan Julai tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana kakinya patah kerana bermain futsal sebelum kami mendaftar bersama pada bulan November.
“Pada awalnya, ramai yang tidak mengetahui Haffiz merupakan kembar saya kerana kami tidak seiras selain saya memiliki fizikal yang lebih besar dan sebelum ini kami hanya mendapat tahu mengenai KKS melalui rakan-rakan sahaja,” katanya.
Menurutnnya, dia dan adiknya juga bercadang untuk menubuhkan sebuah syarikat pendawaian selepas tamat belajar kelak memandangkan bidang tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan di daerah ini.
Sementara itu, Pengarah KKS, Zazali Lazin berkata, sehingga kini terdapat seramai 331 pelajar di KKS dengan majoriti 298 merupakan pelajar Melayu selain KKS turut menawarkan lima kursus persijilan dan satu kursus diploma.
“Selain kursus sepenuh masa ini, pada tahun lalu juga, KKS menduduki tempat kedua daripada 94 Kolej Komuniti di Malaysia apabila mencatatkan seramai 7,821 peserta kursus pendek dan ini membuktikan bahawa KKS mula diterima oleh komuniti di sini.
“Saya lihat bidang yang berkaitan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menjadi pilihan majikan di pasaran kerja pada hari ini dan penekanan serta program kesedaran seperti ini yang giat kami lakukan di KKS,” katanya.
Comments