SEGAMAT – “Dia bukan seorang guru dan tidak mengandung seperti yang diviralkan di media sosial,” tegas seorang bapa, Na’amat Sulaiman, 54, selepas anak sulungnya, Sumaiyah, 32, terlibat dalam kemalangan maut di Kampung Tanjung Cempaka, Pahang, baru-baru ini.

Na’amat yang menetap di Kampung Berata, di sini, berkata, dakwaan tersebut tidak berasas kerana anak sulung daripada 11 beradik itu bekerja di syarikat miliknya dan sudah bercerai dengan suaminya sejak beberapa tahun lalu dan tidak mempunyai anak.

Menurutnya, Sumaiyah yang terlibat dalam kemalangan pada 14 Februari lalu dalam perjalanan ke Pahang untuk berjumpa anak kelimanya, Muadz Sulaiman bagi mengambil dokumen milik syarikatnya.

“Menurut pihak polis, kereta yang dipandu oleh Sumaiyah hilang kawalan ketika melalui kawasan kejadian sebelum terbabas ke dalam semak dan ketika kejadian, jalan licin dan hujan lebat.

“Dia kemalangan kira-kira pukul 5 petang dan apa yang diviralkan di media sosial selepas kemalangan tersebut adalah sebaliknya apabila ada yang mendakwa dia seorang guru di Maran, Pahang dan sedang mengandung,” katanya.

Dia ditemui di rumahnya selepas menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Segamat yang disampaikan oleh Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim, semalam.

Na'amat (dua,kiri) menerima cek FPM yang disampaikan oleh Norshida (tengah) sambil diperhatikan oleh S Mageswari (dua, kanan).
Na’amat (dua,kiri) menerima cek FPM yang disampaikan oleh Norshida (tengah) sambil diperhatikan oleh S Mageswari (dua, kanan).

Menurutnya, dia hanya mengetahui kemalangan tersebut selepas dihubungi oleh pihak polis kira-kira pukul 8 malam pada hari kejadian sebelum bergegas ke Hospital Pekan bersama isterinya, Maziah Ismail, 55, dan seorang lagi rakannya.

“Saya sempat meminta anak-anak yang lain agar segera memperbetulkan viral tersebut bagi mengelakkan sebarang salah faham dan sedikit kesal kerana maklumat disebarkan terlebih awal tanpa diselidiki kesahihannya.

“Arwah meninggal dunia di tempat kejadian selepas mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dan leher dan jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Berata pada keesokan harinya,” katanya.

Menurutnya, arwah Sumaiyah juga merupakan seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap namun rapat serta rajin menolong adik beradiknya yang lain dan kali terakhir dia berjumpa dengan Sumaiyah adalah pada pagi sebelum kejadian di rumahnya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Perkeso Segamat, S Mageswari berkata, selain FPM, keluarga Sumaiyah juga akan menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) dengan jumlah minimum RM900 sebulan memandangkan dia merupakan seorang pencarum.

“Memandangkan arwah tidak mempunyai anak, ibu bapa serta lima adik beradiknya yang berumur di bawah 21 tahun akan menerima faedah tersebut dan berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga ini,” katanya.

(Visited 349 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!