SEGAMAT – Masalah kekurangan guru di sekolah agama di negeri ini khususnya di daerah Segamat yang kian meruncing perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan masalah murid keciciran pelajaran.
Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama ( Baksis) Segamat, Hashim Mohamad Kalang berkata, masalah kekurangan guru di sekolah agama bukan isu baru, sebaliknya sudah berlarutan sejak lebih lima tahun lalu.
“Masalah kekurangan guru akan memberi kesan secara langsung kepada proses pengajaran dan pembelajaran serta pencapaian murid-murid.
“Kekurangan jumlah guru juga membuatkan beban tugas sedia ada guru bertambah dan dibimbangi akan memberi kesan kepada emosi mereka yang turut mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Dan Hari Kecemerlangan Sekolah Agama Perumahan Awam Labis baru-baru ini.
Katanya, amat menyedihkan terdapat sekolah agama dengan lebih 600 murid mempunyai hanya 13 berbanding seramai 30 guru untuk 300 murid di sekolah kebangsaan (SK).
Menurutnya, isu tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana pendidikan agama sama penting dengan pendidikan akademik di sekolah kebangsaan bagi melahirkan insan seimbang dari aspek rohani dan jasmani.
Beliau turut melahirkan rasa bimbang berikutan jumlah guru Tadika Agama Johor (TAJ) yang berkelayakan mengambil keputusan berhenti kerja disebabkan tidak diserapkan sebagai guru agama agak besar ketika ini.
Selain itu katanya, antara faktor utama guru TAJ berhenti kerja mungkin disebabkan elaun yang mereka perolehi agak rendah berbanding guru-guru agama.
Dalam pada itu beliau turut menggesa ibu bapa agar meningkatkan penglibatan mereka dalam sebarang aktiviti badan kebajikan sekolah agama bagi memastikan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Jika kita lihat, ibu bapa seakan tidak berminat untuk memberi kerjasama kepada badan kebajikan sekolah agama berbanding Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah kebangsaan.
“Saya harap pihak Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) Segamat dapat mencari jalan menarik minat dan memberi kefahaman terhadap tanggungjawab golongan ibu bapa untuk terlibat dalam aktiviti badan kebajikan di sekolah agama,” katanya.
Comments