SEGAMAT – Kebakaran kecil berlaku di bilik linen wad lelaki Hospital Daerah Segamat (HDS) kira-kira pukul 5.15 petang tadi, namun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya sedang menunggu laporan terperinci daripada pihak bomba untuk mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian.
“Kesemua pesakit di dalam wad tersebut telahpun dipindahkan ke lobi hospital dan jumlah pesakit wad lelaki ketika kejadian seramai 45 orang dan turut dipindahkan ialah 16 pesakit di wad wanita yang terletak bersebelahan.
“Pengurusan krisis yang mantap dapat membantu kakitangan hospital memindahkan pesakit berkenaan dalam tempoh yang singkat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya ketika ditemui di HDS, petang tadi.
Menurutnya, kebakaran juga terkawal dan boleh dikatakan tidak terlalu serius dan beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada forensik bomba untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Mohd Aizad Mamat berkata, kebakaran kecil hanya melibatkan bilik linen di wad berkenaan sahaja dan api serta asap juga berjaya dikawal dalam masa yang singkat.
Comments