SEGAMAT – Seramai 75 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor mencipta sejarah tersendiri selepas berjaya menamatkan kayuhan sejauh 249 kilometer, baru-baru ini.
Rektor UiTM Johor, Profesor Madya Dr Azizan Abdullah berkata, program sempena Kayuhan Suksis 60 Merdeka juga turut singgah di lima buah daerah iaitu Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Iskandar Puteri dan menamatkan kayuhan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
“Selain itu, program ini adalah salah satu inisiatif Suksis UiTM dalam menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan negara disamping meraikan genap lima tahun penubuhan Suksis UiTM Kampus Cawangan Segamat.
“Kayuhan 60 Merdeka ini juga adalah salah satu aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan Suksis dengan kerjasama pihak polis dalam usaha mendekatkan diri dengna masyarakat selain dapat memberi maklumat terkini kemerdekaan negara,” katanya.
Menurutnya, tambah bermakna, para peserta yang memulakan kayuhan sejak Ahad lalu turut disambut oleh Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd di IPK Johor.
Katanya, para peserta juga berjaya menamatkan kayuhan tanpa sebarang kecederaan selain Kayuhan 60 Merdeka ini berjaya mencatat sejarah baharu kepada UiTM Cawangan Johor.
“Sepanjang program kayuhan ini, kami turut singgah di beberapa buah sekolah dan sempat menyampaikan maklumat-maklumat terkini mengenai pembalajaran di universiti terutamanya di UiTM Johor.
“Ini juga merupakan salah satu cara kami menjalin hubungan erat di antara universiti, polis dan masyarakat,” katanya.
Comments