SEGAMAT – Kayu palet yang dahulunya sering dibuang kini dimanfaatkan dan dikitar semula untuk dijadikan perabot serta perkakasan rumah selain mula mendapat tempat oleh pengusaha-pengusaha kedai dan pemburu perabot.

Peluang tersebut juga bijak dimanfaatkan oleh seorang tukang paip dan pendawaian di Bandar IOI, di sini, Sallehuddin Masri, 45, apabila menggunakan kreativitinya untuk menghasilkan produk daripada kayu palet terpakai bagi menambah pendapatan keluarganya.

Menurutnya, dia yang mula menceburi aktiviti tersebut pada Mac tahun lalu pada awalnya hanya menjadikan hobinya untuk mengisi masa lapang sahaja sekiranya tiada tempahan untuk kerja-kerja perpaipan dan pendawaian elektrik daripada pelanggannya.

“Pada awalnya saya menghasilkan kerja seni ini apabila salah seorang rakan di Jementah meminta saya untuk membina sebuah rak bagi meletakkan barang perniagaannya tetapi daripada kayu palet.

Perabot pertama yang dihasilkan oleh Salleh Pallet
Perabot pertama yang dihasilkan oleh Salleh Pallet

“Saya mengambil masa selama sebulan setengah untuk menyiapkan tempahannya dengan menggunakan kayu-kayu palet yang ketika itu dikutip daripada tempat pembuangan sampah dan kitar semula,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Menurutnya, hasil dorongan, idea dan pandangan daripada rakannya itu juga yang membuatkan dirinya lebih yakin untuk meneruskan aktiviti pembuatan perabot tersebut dengan modal permulaan yang rendah kira-kira RM1,000.

Katanya, dia juga mula berani untuk mempelbagaikan lagi kreativitinya dengan menghasilkan pelbagai jenis produk seperti rak kasut, pelamin, kotak hantaran, set kerusi dan meja serta pelbagai jenis rak dan almari.

Sebahagian perabot yang dikeluarkan oleh Salleh Pallet
Sebahagian perabot yang dikeluarkan oleh Salleh Pallet

“Pada awalnya saya berasakan tindakan ini mungkin memakan diri kerana langsung tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam bidang pertukangan kayu namun saya sering membuat rujukan di internet sehingga memperolehi banyak rakan dalam bidang yang sama.

“Kami kemudian bertukar-tukar pendapat dan tempat yang menjual kayu palet kerana selain memerlukan idea dan kreativiti tersendiri, bekalan kayu palet jenis pine ini penting agar saya tidak terputus bekalan kayu,” katanya.

Menurut suami kepada Zalila Mohamad, 45, dan bapa kepada empat anak itu, dia juga sering mencuba idea baharu bagi memastikan produk yang dihasilkan seiring dengan kehendak semasa selain turut mengambil tempahan mengikut reka bentuk yang disediakan pelanggan.

Katanya,  apa yang membezakan perabot kayu palet pine ini dengan perabot lain adalah urat kayu atau bunganya yang sangat unik serta cantik dan hanya perlu dilicinkan sebelum dicat menggunakan pewarna kayu.

Sallehuddin mengecat rak kasut tempahan pelanggannya.
Sallehuddin mengecat rak kasut tempahan pelanggannya.

“Bulan lalu saya dan anak-anak pernah bersengkang mata sehingga tidak tidur malam semata-mata menyiapkan tempahan meja pelanggan kerana kedainya hendak dikunjungi oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamaed Khaled Nordin.

“Setakat ini, produk yang banyak mendapat sambutan adalah kotak hantaran, pelamin, ‘photobooth’ serta set meja dan harganya pula sangat berpatutan bermula serendah RM30 hingga RM2,500 bergantung pada jenis bentuk dan rekaan,” katanya.

(Visited 2,914 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!