SEGAMAT – Siapa sangka disebalik kelincahan dan keaktifan fizikal seorang kanak-kanak berumur empat tahun di Felda Palong Timur 2, di sini, dia sebenarnya sedang menderita menghidap penyakit usus tiada urat saraf (hirschprungh disease).
Ibu kanak-kanak tersebut, Siti Norhawa Mohd Yasin, 25, berkata, anaknya, Mohd Izzua Hakim Mustaqim, 4, mula dikesan penyakit tersebut di Hospital Daerah Segamat (HDS) pada tahun 2012, beberapa hari selepas dia dilahirkan.
“Anak saya juga dilahirkan tidak cukup bulan kerana dilahirkan pada usia kandungan 32 minggu dengan berat 1.6 kilogram (kg) ketika itu sehingga terpaksa ditahan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HDS.
“Ketika di NICU, doktor mendapati Hakim tidak membuang air besar langsung seperti bayi-bayi yang lain walaupun selepas tiga hari dilahirkan sebelum kes anak saya ini dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada usianya tiga minggu,” katanya.
Ibu muda tersebut ditemui di rumah keluarganya semasa menerima lawatan dan penyerahan sumbangan daripada rombongan Muafakat Segamat di Felda Palong Timur 2, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, semasa di HKL, doktor telah melakukan biopsi dan mengambil sampel dibahagian rektum anaknya itu dan mendapati usus besar Mohd Izzua Hakim bercantum bersama usus kecil selain ususnya tidak mempunyai urat saraf.
“Disebabkan penyakitnya itu, anak saya tidak boleh langsung membuang air besar melalui duburnya dan doktor telah menebuk bahagian perutnya bagi membolehkan najis daripada badannya dapat dikeluarkan.
“Kemudian, pada umurnya lapan bulan, Hakim menjalani pembedahan pertamanya di HKL bagi membuang usus besar dan kecil yang bercantum namun dia masih tidak mempunyai deria untuk membuang air besar,” katanya.
Menurutnya, selepas pembedahan tersebut, dia juga terpaksa memasukkan jari pada lubang dubur anaknya dua hingga empat kali sehari bagi membolehkan anaknya itu membuang air besar.
Bertambah malang, pada usia anaknya setahun enam bulan, usus Mohd Izzua Hakim didapati bocor dan najisnya juga telah memasuki badan sebelum sekali lagi dikejarkan ke HKL untuk pembedahan.
“Ketika itu, dia hampir nazak dan selepas pembedahan kedua ini, ususnya juga semakin pendek dan pada usianya dua tahun, dia tidak boleh minum sebarang susu ibu atau formula dan terpaksa meminum air suam sahaja.
“Pada usianya tiga tahun, doktor memasang satu butang pada perutnya yang boleh dibuka kerana sebagai seorang ibu saya tidak sanggup melihat Hakim terseksa apabila saya memasukkan jari pada duburnya,” katanya.
Menurutnya, dia bersama suaminya, Elisman Yazid Husin, 35, juga terpaksa berulang alik setiap dua bulan sekali ke HKL untuk mendapatkan rawatan susulan dan dia yang tidak bekerja terpaksa mengharapkan pendapatan suaminya yang bekerja sendiri.
Katanya, dia juga terpaksa membelanjakan kira-kira RM1,000 sebulan untuk anaknya selain bergantung kepada bantuan bulanan sebanyak RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Comments