LABIS – Setiap kampung di daerah Segamat mempunyai pelbagai cerita menarik sama ada cerita benar mahupun yang berunsur mitos dan salah satu kampung yang mempunyai sejarah  tersendiri ialah Kampung Tenang.

Kampung Tenang yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Pekan Labis merupakan sebuah kampung tradisional yang masih mengekalkan kawasan penempatan secara warisian oleh masyarakat Melayu dan mempunyai ciri-ciri Melayu dalam seni binanya.

Ketua Kampungnya, Mohd Pu’ad Ahmad, 57, berkata, berdasarkan penulisan sejarah dan cerita orang terdahulu, Kampung Tenang ini telah dibuka pada hari Rabu 22 Ramadan 1221 Hijrah bersamaan 3 Disember 1806.

Mohd Pu'ad Ahmad
Mohd Pu’ad Ahmad

Menurutnya, individu yang bertanggungjawab membuka kampung ini ialah Kamarul Arifin Bin Alaudin Bin Bahauddin atau dikenali sebagai ‘Tok Tenang’ atau ‘Tok Maarib’, seorang pengembara dan pengembang ajaran Islam dari Pagar Ruyung, Minangkabau, Indonesia.

“Banyak versi mengenai cerita kedatangan Tok Tenang ke sini (Kampung Tenang) dan salah satunya Almarhum bersama pengikutnya dikatakan datang ke sini dengan memudik Sungai Tenang dari Muar melalui Segamat.

“Semasa beliau berehat dan berteduh di bawah sebatang pokok , gugur tiga helai daun iaitu satu daun gugur terlangkup manakala dua lagi daun gugur terbuka dan ini memberikan tanda yang amat bermakna kepada Tok Tenang,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Ubah kawasan hutan kepada penempatan penduduk

Menurutnya, mengikut firasat Tok Tenang juga, kawasan yang dijadikan tempat berehatnya itu sesuai dijadikan pusat penyebaran ilmu agama, pertanian dan penternakan kerana kaya dengan alam semulajadi dan flora serta faunanya.

Katanya, sebelum kampung ini dibuka, kawasan ini asalnya merupakan hutan rimba yang luas dan didiami oleh Orang Asli yang mencari rezeki dengan memungut hasil-hasil hutan di sekitarnya.

“Justeru, dapatlah dikatakan bahawa terdapat dua kawasan di mana di sebelah mudik sungai ialah tempat bercucuk tanam dan mencari rezeki manakala sebelah hilir pula ialah tempat tinggal mereka.

“Kedatangan Tok Tenang dan beberapa orang pengikutnya membawa binatang seperti kerbau dan kambing berjaya mengubah keadaan tempat ini dan mereka juga telah menebas hutan untuk bercucuk tanam dan menetap di kampung ini,” katanya.

Mohd Pu'ad menunjukkan Makam Tok Tenang yang terdapat di Kampung Tenang
Mohd Pu’ad menunjukkan Makam Tok Tenang yang terdapat di Kampung Tenang

Menurutnya, Tok Tenang juga telah membina sebuah masjid dan pusat pengajian ilmu agama (pondok) untuk penduduk di sekitar kawasan tersebut dan masjid yang dibina amat unik dengan menggunakan putih telur sebagai simen. Masjid tersebut kemudian telah dibesarkan dan dinamakan sebagai ‘Masjid Darul Iman’.

Katanya, sejak itu, Kampung Tenang mula membangun dan ditadbir mengikut sistem hierarki dan pelan tersendiri dengan Tok Tenang bertindak sebagai ketua pentadbir dan ketua agama. Tok Tenang dikatakan meninggal dunia pada usianya 117 tahun.

“Dahulu, ekonomi utama penduduk pada waktu tersebut termasuk bersawah padi dan mengusahakan tanaman-tanaman lain serta buah-buahan. Sawah padi ketika itu sangat subur dan penduduk turut membuat empeng ketika musim menuai.

“Aktiviti sawah padi pula berakhir pada tahun 1960-an dan telah diubah kepada tanaman lain seperti kelapa sawit, pokok buah-buahan selain didirikan rumah oleh penduduk kampung,” katanya.

Kampung Tenang masih dikelilingi keindahan alam semulajadi

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Tenang, Khairul Nizam Abdul Manap, 36, berkata, sehingga kini, jumlah penduduk kampung tersebut adalah seramai 1,019 orang dengan 284 keluarga.

Khairul Nizam Ab Manap
Khairul Nizam Ab Manap

Menurutnya, Kampung Tenang ini merupakan kampung induk dan mempunyai sembilan kampung rangkaian termasuk beberapa perkampungan Orang Asli dan setiap kawasan mempunyai tarikannya yang tersendiri serta unik.

Katanya, Kampung Tenang juga dilihat masih kaya dengan keindahan alam semulajadi kerana terletak berhampiran sempadan Hutan Simpan Labis dan mempunyai Hutan Lipur Taka Melur sebagai tarikan utamanya.

“Sebelum ini, hutan lipur ini terbiar selama lapan tahun dan tidak dikunjungi oleh pengunjung akibat jambatannya runtuh semasa banjir besar melanda negeri ini pada tahun 2006 dan selepas itu kehadiran pengunjung ke kawasan tersebut berkurangan dan tiada langsung.

“Bagaimanapun, kawasan tersebut bakal kembali seperti sediakala apabila jambatan baharu telah siap dibina beberapa bulan lalu dan berharapkerja-kerja memulihara kawasan tersebut akan menarik lebih ramai pengunjung datang ke kawasan ini selepas ini,” katanya.

Katanya,kawasan tersebut yang dikelilingi oleh hutan simpan bukan sahaja sesuai untuk melakukan aktiviti riadah nersama keluarga, sebaliknya sebagai tempat kepada golongan remaja untuk mengenali dengan lebih dekat keindahan serta khazanah alam semulajadi negara ini.

Menurutnya, dia yakin Hutan Lipur Taka Melur ini akan menerima jumlah pengunjung yang lebih ramai selepas infrastruktur yang sedia ada dibaik pulih dan pada masa sama mempopurlkan lagi Kampung Tenang ini.

Hutan Lipur Taka Melur yang sering dikunjungi pengunjung.
Hutan Lipur Taka Melur yang sering dikunjungi pengunjung.
(Visited 5,481 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!