SEGAMAT – Sekiranya kita mendengar atau melihat perkataan Gudang Garam, pastinya akan teringat kepada rokok kretek buatan Indonesia yang termasyhur. Namun sayang, kita tidak akan bertemu sebuah kilang atau gudang rokok di daerah ini sebaliknya sebuah kampung yang indah.

Terbitnya nama Kampung Gudang garam mempunyai variasinya tersendiri. Variasi pertama, kampung tersebut dikatakan dinamakan oleh sekumpulan pemburu sementara variasi kedua adalah berkait dengan kisah Raja Malim Deman.

Bagaimanapun, kedua-dua variasi cerita ini membawa kepada persetujuan tentang wujudnya tempat menyimpan garamsehingga wujudnya nama kampung tersebut kira-kira 100 tahun lalu sekitar tahun 1900.

Pemburu terjumpa binatang menjilat tanah

Ketua kampungnya, Muda Mohd Lasing, 69, berkata, kampung ini dahulunya adalah satu kawasan hutan dan merupakan kawasan memburu binatang yang dipenuhi dengan pelbagai jenis binatang.

Katanya, walaupun kawasan ini merupakan hutan, namun tidak semua tempat dipenuhi pohon-pohon kayu besar tetapi terdapat juga petempatan. Kebanyakan mereka tinggal di kawasan ini untuk menenangkan fikiran sambil melihat binatang-binatang yang ada di situ.

“Pada suatu hari, ada seorang pemburu yang sedang memburu binatang terlihat sekumpulan binatang sedang menjilat tanah. Pemburu itu pelik tapi meneruskan pemburuannya tetapi apabila dia sampai ke tempat lain, kejadian yang sama juga berlaku.

“Setelah membuat pemeriksaan. Barulah pemburu tersebut mengetahui bahawa tanah di kawasan itu adalah masin sebelum dia bercerita kejadian tersebut kepada keluarga dan rakan-rakannya yang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dalam perjalanan pulang ke rumahnya, pemburu tersebut kononnya menjumpai satu rumah kosong dan setelah ditelili di dalam rumah itu kelihatan seperti gudang dan tidak pasti sama ada gudang tersebut pernah digunakan atau sebaliknya.

Kewujudan sebuah rumah berbentuk gudang dan kawasan yang dikatakan menyimpan garam akhirnya mendorong pemburu tersebut mengambil keputusan menamakan kawasan tersebut sebagai ‘Kampung Gudang Garam’.

Dikatakan kawasan pelabuhan yang telah kering airnya

Katanya lagi, pada zaman dahulu, Kampung Paya Berombak yang terletak dipinggir kampung itu juga adalah merupakan sebuah kuala tempat kapal-kapal berlabuh dan dikatakan tempat di mana kapal Malim Deman tenggelam.

“Kapal itu dikatakan membawa banyak harta di di zaman itu, tiang layar kapal Malim Deman yang tenggelam dapat dilihat dengan jelas dari pinggir Kampung Gudang Garam. Dari kuala itulah dikatakan para pedagang mendarat membawa barang dagangan mereka.

“Ada pedagang yang membawa garam dan garam itu disimpan di sebuah gaung di Kampung Gudang Garam sebelum dihantar ke destinasi yang memerlukannnya. Garam yang disimpan di situ tertumpah ke tanah sebelum menjadikan tanak sekitar tempat tersebut masin,” katanya.

Apabila masa berlalu, kuala itu menjadi semakin kering airnya dan tempat yang suatu ketika dahulu menjadi pangkalan untuk mengangkut garam ke darat tidak lagi boleh digunakan. Lantaran itu, ‘gudang’ tempat menyimpan garam itu tidak berfungsi lagi.

Katanya, tanah sekitar tempat menyimpan garam itu dikatakan menjadi masin akibat longgokan garam yang telah dilaruti hujan. Mereka yang lalu lalang pada ketika itu sering melihat pelbagai jenis binatang menjilat-jilat tanah masin tersebut.

Muda (kiri) menunjukkan tanah yang terdapat di Kampung Gudang Garam
Muda (kiri) menunjukkan tanah yang terdapat di Kampung Gudang Garam

Tidak ada kena mengena dengan rokok

Sementara itu, Penghulu Mukim Gemereh, Mahathir Abdul Ghani berkata, dipercayai bahawa nama Kampung Gudanggaram ini telah wujud sejak dari zaman Malim Deman lagi lantas terus digunakan oleh peneroka asal kampung ini sebagai namanya yang penuh bermakna.

“Kampung ini terletak beberapa kilometer dari bandar Segamat dan sehingga kini kira-kira terdapat 100 buah keluarga dengan 400 orang penduduk di sini dan kebanyakannya merupakan pesara.

“Walaupun kampung ini membayangkan salah satu jenama rokok kretek Indonesia yang popular, kampung ini langsung tidak ada sebarang kaitan dengan rokok tersebut. Kawasan ini juga merupakan salah satu kawasan paya bakau yang terbesar di negeri Johor,” katanya.

Menurutnya, kampung ini tidak terpinggir dari arus pembangunan kerana pelbagai kemudahan awam disediakan untuk para penduduknya seperti balairaya, sekolah tadika dan masjid. Kampung ini juga pernah menggemparkan negara dengan kisah penemuan tapak kaki ‘bigfoot’ di sebuah kebun sayur pada penghujung Disember 2013.

Katanya, kawasan masin dan bergaram di kampung itu juga sudah tiada kerana terdapat kawasan-kawasan yang telah ditambak untuk dijadikan jalanraya selain proses evolusi yang berlaku.

Muda (kiri) dan Mahathir menunjukkan kawasan yang dikatakan tempat haiwan menjilat tanah yang masin
Muda (kiri) dan Mahathir menunjukkan kawasan yang dikatakan tempat haiwan menjilat tanah yang masin
(Visited 2,555 times, 6 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!