SEGAMAT – Ramai masyarakat di luar sana yang keliru dan ada juga yang tidak tahu langsung mengenai konsep sebenar rawatan Islam berbanding rawatan yang diterima di hospital dan sebagainya.
Menurut pengamal perubatan Islam yang mengusahakan pusat rawatan Baitul Syifa’ Kersani, Ir Abdul Manaf Ismail, rawatan dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu rawatan hasil daripada kajian dan pengalaman seperti yang diamalkan oleh doktor dan pengamal perubatan yang bertauliah seperti di hospital dan klinik.
“Kedua ialah rawatan alternatif. Salah satu rawatan alternatif ini ialah rawatan Islam. Jika di hospital doktor mengubat penyakit yang dapat dilihat secara zahir dan mata kasar, kami (pengamal rawatan Islam) mengubati mereka yang mempunyai masalah spiritual, emosi, gangguan makhluk halus, sihir, saka dan sebagainya yang tidak dapat dilihat pada pandangan mata kasar.
“Rawatan Islam ini juga turut disebut sebagai ruqyah atau jampi. Jampi yang dimaksudkan di sini adalah bacaan atau doa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang diyakini tidak bertentangan dengan syariat ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Manaf yang mesra disapa Pak Long berkata, secara mudahnya rawatan Islam adalah pengubatan Islam yang menggunakan ayat-ayat suci al-Quran sepertimana yang diamalkan oleh nabi dan para sahabat dalam usaha mereka menyembuhkan pelbagai penyakit. Sesungguhnya al-Quran yang diturunkan sememangnya mempunyai penyembuh kepada semua penyakit.
Dalam satu hadis, Rasullullah SAW bersabda bahawa semua penyakit itu mempunyai ubatnya melainkan kematian. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ad-Daulabi dalam Al-Kuna, Nabi bersabda, “Sesungguhnya ALLAH menciptakan penyakit dan ubat, maka berubatlah dan jangan kamu berubat dengan yang haram”.
“Ruqyah juga mempunyai prinsipnya yang tersendiri. Pertama, kena lihat orang yang sakit. Jika, dia boleh meruqyah dirinya sendiri itu lagi bagus kerana amalan dan perlakuan itu dilakukan oleh dirinya sendiri untuk mengubati dirinya. Pada masa yang sama dia beribadat kepada ALLAH dengan berzikir dan membaca ayat-ayat suci al-Quran.
“Jika dia tidak berkemampuan untuk mengubati dirinya sendiri barulah dia merujuk kepada mereka yang mahir atau perawat Islam. Walau bagaimanapun, dia perlu lihat kepada siapa dia datang..Jangan silap. Jangan pergi kepada orang yang dipercayai mengamalkan unsur-unsur syirik dan khurafat seperti menurun dan memakai benda yang diharamkan dalam rawatannya kerana bimbang boleh menyelewengkan iman dan akidah kita sebagai seorang muslim,” katanya.
Kebelakangan ini, ramai pesakit yang menemui Pak Long adalah mereka yang menghidap penyakit misteri seperti gangguan mental bahkan tidak kurang juga yang melibatkan masalah fizikal seperti tidak mampu berjalan, sakit belakang badan, lumpuh dan sebagainya. Pemeriksaan doktor secara saintifik terhadap mereka tidak mampu menemui punca penyakit apatah lagi untuk memberikan satu rumusan bagaimana menyembuhkan penyakit misteri tersebut.
Kebanyakan penyakit misteri tersebut berpunca daripada gangguan syaitan atau jin. Tambahan pula, terdapat segelintir manusia mempunyai niat buruk terhadap orang lain dengan ‘menghantar’ jin terutamanya jin kafir untuk menyempurnakan hajat buruk tuannya. Maka, jin-jin tersebut berada di dalam badan pesakit mengikut kehendak penghantarnya. Ini termasuklah di celah-celah kelengkang, kepala dan lain-lain tempat yang boleh menganggu pesakit kerana jin boleh bergerak melalui setiap pembuluh darah di dalam badan manusia.
Kaedah Rawatan
Menurut Pak Long, kaedah rawatan yang digunakan olehnya adalah bergantung sepenuhnya kepada ayat-ayat al-Quran dan bacaan doa yang diyakini berlandaskan Islam dan tidak menggunakan benda-benda yang haram dan syubhah (diragui).
“Jika terdapat pesakit yang memerlukan rawatan, Pak Long akan mendengarkan kepada mereka surah al-Jinn. Jika terdapat, jin atau makhluk halus di dalam badan seseorang itu, dia akan bertindak dan memberi reaksi kerana surah tersebut menceritakan perihal mengenai jin.
“Pada ayat keenam surah tersebut ada mengatakan bahawa amat salah perbuatan manusia yang menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka (manusia) menjadikan golongan jin bertambah sombong dan kuat,” katanya.
Pak Long yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Sunderland, England dan Diploma Pengajian Islam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, antara medium yang digunakan olehnya untuk merawat pesakit adalah dengan menggunakan air yang sudah dibacakan dengan 30 juzuk al-Quran, doa penerang hati dan doa pelembut hati.
“Selain itu Pak Long juga menggunakan daun bidara kerana daun ini amat ditakuti oleh jin dan iblis kerana di dalam al-Quran ada menceritakan mengenai khasiat dan kelebihan daun tersebut untuk menangani gangguan makhluk halus.
“Ibnu Katsir saat menafsirkan surah al-Baqarah ayat 102, yang bercerita mengenai fitnah syaitan kepada Nabi Sulaiman menyebutkan bahawa untuk mengubati sihir, sebaiknya kita mengambil tujuh helai daun bidara, kemudian ditumbuk halus atau diracik, lalu dicampurkan daun tersebut kepada air atau minyak yang dibacakan doa. Kemudian dibacakan ayat kursi dan tiga kul sebelum disapukan di tempat yang sakit ataupun diminum.
“Pak Long juga akan memohon pada ALLAH supaya pesakit yang mendapatkan rawatan dengan Pak Long disembuhkan dengan cara bangun solat malam untuk solat hajat, tahajjud selain berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis. Perlu diingat saya ini hanya perantara. Yang berkuasa untuk menyembuhkan dan menentukan ialah ALLAH,” katanya.
Di samping itu, Pak Long juga dibantu oleh isterinya, Siti Hawa Talib atau lebih dikenali sebagai Mak Long oleh masyarakat setempat di sini dalam merawat pesakit terutamanya pesakit wanita.
Perbezaan Rawatan Islam
Pak Long juga turut mengakui terdapat segelintir mereka di luar sana yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama Islam dalam rawatan mereka sehingga berlaku penyelewengan tanpa disedari oleh pesakit.
Perawat Islam juga perlu memiliki keimanan dan keyakinan yang tinggi kepada ALLAH serta memiliki keilmuan dengan ilmu rawatan Islam dengan sumber yang sah dan tahu membezakan sesuatu yang betul dan yang salah.
Pengamal perubatan Islam juga hendaklah memastikan bahawa amalan perubatan Islam yang diamalkannya bebas daripada unsur-unsur batil yang biasa diamalkan dalam sistem perbomohan yang terpesong daripada Islam seperti penggunaan khidmat jin, tangkal, azimat, jampi serapah, menilik, penggunaan bahan yang jelas haram seperti darah binatang dan daging binatang yang diharamkan.
“Ada pesakit yang mengadu kepada saya bahawa terdapat perawat yang mengaku dirinya perawat Islam menggunakan darah binatang dalam rawatan mereka dan mereka juga turut menggunakan ayat-ayat al-Quran seperti kalimah bismillah. Ini secara terang-terangan sudah haram dan menyimpang daripada ajaran Islam kerana darah itu adalah makanan jin dan penggunaan ayat-ayat suci dibimbangi membawa kepada syirik dan khurafat.
“Untuk membezakan rawatan Islam sebenar dengan rawatan yang bertopengkan Islam adalah mudah. Pertama lihat personalitinya. Jika keadaannya tidak ubah seperti seorang bomoh atau dukun tetapi menggunakan ayat-ayat suci, maka dia bertopengkan rawatan Islam. Kedua, melalui persekitarannya. Jika persekitarannya meragukan dengan terdapat pelbagai azimat, kain kuning, tengkorak dan kemenyan itu bukannya pengamal perubatan Islam,” katanya.
Rawatan Islam juga tiada pantang larang yang ketat berbanding rawatan yang bertopengkan Islam kerana ada di antara perawat yang mengenakan pantang larang kepada pesakit seperti tidak boleh memakan makanan pedas dan tajam, tidak boleh lalu bawah ampaian dan sebagainya.
Ini kerana, pengamal perubatan Islam hendaklah menunjukkan contoh terbaik dalam amalan mereka dengan mementingkan keikhlasan dalam membantu, memoitivasi, mendakwah pesakit, mengutamakan keredhaan ALLAH dan mengejar kebaikan tanpa meletakkan imbuhan duniawi sebagai matlamat utama dalam rawatannya.
Keberkesanan Rawatan
Menurut Pak Long, bukan setakat orang Melayu sahaja yang mendapatkan rawatan daripadanya tetapi ada juga kaum lain seperti orang Cina dan India yang datang berjumpa dengannya.
“Kebanyakan mereka ialah jururawat yang bekerja di klinik dan hospital. Kita sedia maklum kawasan tersebut terutamanya rumah mayat merupakan kawasan yang banyak gangguan dan ada di antara mereka yang tidak kuat semangat kemudian diganggu.
“Ada juga pesakit yang datang daripada seluruh Malaysia dan ada pesakit daripada Thailand dan Singapura datang ke sini. Dengan berkat dan keizinan ALLAH mereka beransur sembuh setelah mendapatkan rawatan dengan Pak Long,” katanya.
Ada di antara pesakit yang sembuh setelah melakukan sekali rawatan dan ada juga yang memakan masa dan beberapa sesi rawatan barulah mereka sembuh dan semua itu bergantung kepada gangguan yang dialami oleh pesakit.
Ada sesetengah penyakit yang tidak dapat dikesan oleh doktor dirujuk ke sini setelah perubatan moden gagal mengesan apakah penyakitnya yang sebenar.
“Pernah ada seorang wanita daripada Johor yang sudah berkahwin mendapatkan rawatan di sini. Dia mendakwa kandungannya akan hilang setelah usia kandungan mencapai tiga bulan. Dia dan suaminya sudah buntu kerana menurut doktor dia tidak keguguran tetapi janin tersebut hilang dan ghaib begitu sahaja.
“Semasa menjalani rawatan di sini, Pak Long mendapati ada jin yang memakan janin tersebut dan hasil dialog bersama jin tersebut, jin itu mengakui dihantar oleh seseorang yang dengki dengannya yang tidak mahu melihat pasangan tersebut bahagia. Alhamdulillah selepas menjalani rawatan pasangan berkenaan tidak mengalami lagi gangguan tersebut,” katanya.
Ada pesakit yang mempunyai saka harimau bila dibawa menjalani rawayan di sini dia berkelakuan seperti harimau dan mencakar-cakar dinding apabila diazankan. Setelah ditanya, saka tersebut merupakan saka warisan daripada keturunannya.
“Atuk dan bapa kita dahulu tinggalkan dua perkara untuk kita. Pertama harta pusaka seperti tanah, rumah dan sebagainya. Yang kedua ialah saka. Sewaktu hayat mereka mungkin ada di antara mereka menjadi pawang, dukun dan bomoh. Jadi, kita hairan bagaimana orang dahulu boleh membuka kebun yang luas tanpa bantuan sesiapa melainkan bantuan saka ini,” katanya.
Katanya, rugi ibadah seseorang yang beragama Islam itu sekiranya mereka melakukan sesuatu perkara yang mensyirikkan ALLAH kerana syirik merupakan salah satu dosa yang tergolong di dalam dosa besar.
Punca masyarakat hari ini sering diganggu seperti histerian, masalah emosi dan sebagainya adalah disebabkan mereka tidak menjadikan al-Quran dan sunnah Rasullullah SAW sebagai asas kehidupan mereka.
“Iman generasi sekarang sangat tipis dan rapuh. Doa-doa yang diajar oleh Rasullullah sebenarnya sangat berguna. Tetapi masayarkat kini berfahaman membaca doa untuk mendapat pahala. Dari segi amalan dan pengisiannya tiada. Ini kerana doa merupakan benteng diri seseorang mukmin itu,” katanya.
Comments
Alhamdulillah,
Saya juga sebagai perawat Islam Darussyifa sangat bersetuju dengan amalan berlandaskan Al quran & hadis. Jangan mengikut amalan yg bertentangan kelak kita yg rugi