SEGAMAT – Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Johor (Juita) telah melatih seramai 250 wanita di negeri ini dalam bidang bakeri dan pastri melalui program Merealisasikan Aspirasi, Harapan dan Impian Rakyat (Mahir).
Yang Dipertuanya, Datin Seri Rosni Omar berkata, golongan tersebut yang merupakan golongan daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40) itu akan dibantu untuk meningkatkan taraf hidup mereka melalui bidang kemahiran.
“Program Mahir pada hari ini merupakan tahun kedua dilaksanakan dan Juita mendapat kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar (Irda) dan Program Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang memberi peruntukan sebanyak RM275,000.
“Pada tahun lalu, kita telah memilih daerah Pasir Gudang, Kota Tinggi dan Mersing manakala pada tahun ini Muar dan Segamat selain masih mengekalkan konsep yang sama iaitu program latihan kemahiran dalam bidang bakeri dan pastri,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan Program Latihan Kemahiran Bakeri dan Pastri B40 di Dewan Kolej Komuniti Segamat (KKS), di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap; Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad; Pengurus PTPK, Shahrizal Ithnin dan Pengarah KKS, Zazali Lazin.
Menurutnya, program sebegini juga adalah salah satu usaha Juita untuk mendekati rakyat dengan mengutamakan penglibatan wanita melalui perkongsian ilmu dan kemahiran untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Pada masa datang, kita akan mencuba pula kursus jahitan manik dan kita sebelum ini juga pernah bekerjasama dengan Johor Corporation (JCorp) Anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).
“Sebelum melaksanakan program pada hari ini, kita telah adakan sesi ‘brainstorming’ dengan pihak Irda di mana para peserta didedahkan dengan pengetahuan asas perniagaan dan setiap peserta turut mendapat peralatan percuma dan elaun.” Katanya.
Menurutnya, beliau juga berpendapat sudah tiba masanya golongan wanita di negeri ini bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri ini agar lebih berdaya saing di dalam menghdapai kehidupan yang semakin mencabar ini.
Katanya, kaum wanita terutamanya golongan B40 ini juga seharusnya dibiarkan terpinggir dan program ini juga merupakan salah satu platform untuk wanita mengetengahkan potensi diri mereka secara sepenuhnya.
Comments