SEGAMAT – Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah diarah untuk menyiasat serta mengenalpasti pelajar sekolah di negeri ini yang terlibat dengan kegiatan geng kongsi gelap bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, walaupun tiada sebarang kes dilaporkan di negeri ini, namun langkah pencegahan tetap perlu diambil.
“Di negeri ini langkah proaktif perlu diambil termasuk melihat potensi yang boleh mempengaruhi pelajar untuk menjadi ahli kumpulan kongsi gelap dan kita mungkin akan bekerjasama dengan pihak polis untuk mencegah aktiviti kongsi gelap ini.
“Bagi saya, tindakan memanipulasi atau merekrut pelajar sekolah untuk menyertai kongsi gelap adalah tidak wajar dan saya tidak menafikan kadangkala ada dalam kalangan pelajar cuba meniru gerakan gangsterisme ini di sekolah,” katanya.
Ayub yang juga Adun Kemelah berkata kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Muafakat Tani Daerah Segamat di Dewan Serbaguna Dun Kemelah Taman Pelangi, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Seri Saipolbahari Suib: Pengarah Jabatan Pertanian Johor, Mohd Kamil Mohd Yunus dan Pemangku Pengarah Lembaga Lada Malaysia, Muhammad Hassan M Salleh.
Menurutnya, langkah pencegahan awal penting bagi mengelakkan usaha pihak tertentu menjadikan pelajar sebagai alat kepada kumpulan kongsi gelap melakukan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Beliau mengulas tindakan polis melalui Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) yang menahan 18 pelajar dan lima indivdu lain di Klang, Selangor baru-baru ini kerana menyertai kumpulan kongsi gelap Geng 24.
Pada masa sama, beliau juga tidak menafikan terdapat pelajar sekolah di negeri ini yang terlibat dengan gejala pengunaan dadah, namun bilangannya adalah kecil dan masih berada dalam kawalan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Sebenarnya telah wujud kerjasama di antara AADK dan JPNJ untuk mencegah penyalahgunaan dadah di sekolah seperti ujian air kencing secara mengejut di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.
Comments