SEGAMAT – Program Keselamatan dan Penguatkuasaan Terhadap Pelajar Sekolah oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bukan bertujuan menyaman pelajar, sebaliknya lebih bertujuan untuk mendidik dan advokasi.
Pengarah JPJ negeri Johor, Mohd Rosdi Mohd Darus berkata, pihaknya hanya akan mengeluarkan Notis 114 iaitu arahan temu siasat kepada pemilik motosikal bagi membolehkan pemeriksaan lanjut serta memberi nasihat kepada pemilik kenderaan.
“Namun, saya ingatkan kepada mereka yang menerima notis tersebut agar tidak memandang ringan dan mengabaikan notis tersebut kerana tindakan mengeluarkan saman akan dilakukan kepada mereka yang berdegil.
“Bagi notis pertama, pemilik kenderaan dikehendaki hadir ke sekolah terlibat untuk proses temu siasat dan nasihat dan jika mereka tidak hadir, peluang kedua akan diberikan untuk mereka hadir sendiri ke pejabat JPJ berdekatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media sempena Program Keselamatan dan Penguatkuasaan Terhadap Pelajar Sekolah di Pejabat JPJ Cawangan Segamat, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan tegas termasuk mengeluarkan saman akan dilakukan kepada penerima Notis 114 yang berdegil dan gagal hadir ke pejabat JPJ bagi proses temu siasat selepas peluang kedua diberikan.
Katannya, setakat ini hanya tiga buah sekolah terpilih bagi program tersebut di negeri ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang, SMK Taman Molek di Johor Bahru dan SMK Tun Perak di Muar.
“Hasil daripada advokasi ini, sebanyak 158 motosikal telah diperiksa dan sebanyak 93 notis temu siasat telah dikeluarkan oleh JPJ dan semua anggota telah diarahkan untuk tidak mengeluarkan saman sepanjang program ini dilaksanakan.
“Setakat ini kesalahan yang dikesan dilakukan oleh pelajar di tiga sekolah terbabit adalah melibatkan tiada cukai jalan dan perlindungan insuran sebanyak 54 kes, tiada lesen memandu (56 kes), tidak memakai topi keledar (tiga kes) dan lain-lain kesalahan 50 kes,” katanya.
Pada masa sama, sebanyak 22 sekolah di negeri ini telah menubuhkan Kadet JPJ dengan jumlah keanggotaan kira-kira 750 orang dan menyasarkan sekurang-kurangnya 46 sekolah menengah di negeri ini mempunyai pasukan beruniform tersebut.
Katanya, matlamat penubuhan untuk membentuk pelajar melalui pelbagai aktiviti bagi meningkatkan disiplin diri, membina semangat kerjasama dan patriotisme, selain memberi pendedahan mengenai peraturan jalan raya.
Comments