SEGAMAT – Ahli jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah ini perlu bekerjasama untuk memperkasa dan memantapkan lagi kredibiliti mereka sebagai nadi utama serta tulang belakang kemajuan kampung.
Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, inisiatif ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan melalui Strategi Lautan Biru (NBOS) iaitu mentransformasikan JKKK sebagai agen perubahan.
“Beberapa usaha pengukuhan telah dilaksanakan melalui siri perbincangan dalaman dan mesyuarat bersama agensi-agensi berkaitan bagi tujuan mendapatkan input dan cadangan pengukuhan institusi JKKK di peringkat akar umbi.
“JKKK serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) sebenarnya bertanggungjawab ke atas kemajuan masyarakat dan kampung, menyatupadukan penduduk serta membina kehidupan masyarakat kampung yang selamat dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Desa Perdana (ADP) Peringkat Daerah Segamat di Balai Raya Kampung Gelang Chincin, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pelbagai pendekatan juga telah dan akan diambil seperti penyediaan profil kampung dan menyimpan maklumat asas kampung untuk tujuan perancang kampung yang menyeluruh.
“Selain itu, program berbentuk kursus dan seminar pembangunan desa mengenai inisiatif semasa kerajaan turut diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri supaya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.
“Pertandingan ADP ini bertujuan untuk melahirkan kampung contoh dari pelbagai aspek juga telah diadakan bagi memastikan keberkesanan JKKK dan JKKP ini sentiasa berfungsi,” katanya.
Comments