SEGAMAT – Selain daerah Segamat terkenal dengan duriannya, beberapa jambatan yang terdapat di daerah ini juga sangat terkenal dan diketahui ramai oleh orang luar sama ada dari segi sejarahnya dan juga keindahan sekelilingnya.
Salah satu jambatan yang menjadi tarikan dan terdapat di daerah ini ialah jambatan keretapi dan jambatan pertama yang merentangi Sungai Segamat dan terletak bersebelahan di tengah-tengah bandar Segamat.
Mengikut catatan sejarah, pembinaan jambatan pertama Segamat adalah dengan kehendak Almarhum Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar yang mula dibina pada tahun 1926 dan siap pada tahun 1928 dengan panjang 85 meter dengan luas kelebaran 10 meter.
Pengkaji sejarah Segamat, Aisyamuddin Abdul Latip berkata, pembinaan jambatan ini pada ketika itu adalah satu titik pencapaian yang penting di dalam daerah ini kerana dapat merangsangkan lagi pertumbuhan ekonomi bandar Segamat.
“Jambatan ini dibina dengan tujuan menghubungkan negeri-negeri utara dan selatan Tanah Melayu ke negeri Johor dan Singapura dan laluan ini juga dikenali sebagai Jalan Persekutuan 1 yang merupakan jalan terawal di dalam Malaysia yang mula dibina tahun 1880.
“Pada masa sama jambatan Buloh Kasap turut dibina yang merentangi Sungai Muar sepanjang 160 meter dan jambatan tersebut adalah yang terpanjang dan terbaik di dalam Johor ketika itu,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, pembinaan laluan keretapi pada tahun 1909 turut merancakkan lagi ekonomi bandar Segamat dan seterusnya menyaksikan kemasukan kenderaan jenis Ford England di dalam bandar Segamat pada tahun 1922.
Keadaan itu menyebabkan jalan-jalan semakin bertambah dan atara jalan-jalan terawal sekitar bandar Segamat adalah Jalan Sultan, Jalan Ibrahim, Jalan Aji, Jalan Abdullah, Jalan Omar, Jalan Kolam Ayer, Jalan Genuang dan Jalan Buloh Kasap.
“Pembinaan laluan keretapi, jambatan, jalan raya dan kemasukan kereta ini menyebabkan penggunaan perahu dan laluan Sungai Segamat yang terkenal suatu ketika dahulu semakin berkurangan.
“Walau bagaimanapun, keadaan ini sebenarnya merintis kepada kemajuan ekonomi di sekitar bandar Segamat apabila rumah-rumah kedai dan bangunan mula didirikan berhampiran pinggir sungai,” katanya.
Pernah dibom tentera Australia untuk sekat kemaraan Jepun
Pada Disember 1941, telah berlaku perang dunia kedua di Tanah Melayu dan pada 20 Januari 1942, askar Australia ditugaskan untuk memusnahkan jambatan jalan raya dan keretapi sekitar daerah Segamat dengan menggunakan bom sama ada pada waktu siang dan malam.
Tentangan telah berlaku antara askar Australia dan Jepun di daerah ini antaranya di kawasan Pekan Buloh Kasap dan bandar Segamat dan kesan-kesan pertempuran masih dapat dilihat di sebuah bangunan kedai Jalan Ahmad di Bandar Segamat.
Ahli kumpulan Sejarah Segamat, Rizal Mohd Misrom, 44, berkata, jambatan keretapi Segamat telah dimusnahkan dan jambatan pertama Segamat juga tidak terkecuali bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ketika itu.
“Keseluruhan struktur jambatan pertama dan keretapi di bandar Segamat turut dimusnahkan dan sehingga kini, peninggalan sisa runtuhan masih boleh dilihat di bawah jambatan bandar Segamat.
“Ketika tentera Jepun menawan daerah Segamat, semua bahagian jambatan yang terputus akibat dibom oleh tentera Australia segera dibaiki semula oleh tentera Jepun dalam masa tiga hari siang dan malam.
“Tentera Jepun memaksa orang ramai terdiri daripada orang Melayu, Cina dan India menebang pokok-pokok kelapa, dicampak dan disusun ke dalam sungai bahagian jambatan yang musnah sehingga siap dan boleh dilalui oleh kereta-kereta kebal,” katanya.
Menurutnya, empat bulan setelah Jepun menakluki Tanah Melayu, tentera Jepun membaiki semula dengan kemas jambatan tersebut menggunakan kayu-kayu besar dan lantai papan yang kukuh dan tegap sehinggalah Jepun menyerah diri pada Ogos 1945.
Penduduk tempatan, Zakaria Yaacob, 82 berkata, dia merupakan salah sering individu yang berpeluang melintasi jambatan kayu itu semasa menetap di kuarters kerajaan Jalan Pawang, di sini, sewaktu bekerja sebagai guru.
“Struktur jambatan asal yang telah dimusnahkan masih jelas kelihatan di bawah jambatan kayu tersebut dan perancangan membina jambatan baharu bermula pada tahun 1957 semasa dibawah pentadbiran perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.
“Setelah perang dunia kedua berakhir, jalan-jalan dipulihkan semula dan jambatan yang rosak telah dibina semula dan banyak pembaharuan yang telah dilakukan terhadap jalan-jalan dan jambatan di daerah Segamat sejak kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957,” katanya.
Pada hari ini, jambatan pertama Segamat telah berjasa selama 54 tahun kepada seluruh warga Segamat dan usaha Majlis Daerah Segamat (MDS) memasang lampu hiasan ppada waktu malam di jambatan ini berjaya mencantikkan lagi suasana pada waktu malam di bandar ini.
Comments