SEGAMAT – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah Segamat sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan institusi pendidikan dan pengajian tinggi (IPT) dalam memberi pendedahan kepada masyarakat Orang Asli di daerah ini.

Pegawai Jakoa Segamat, Yazid Beram berkata, ini bagi memberi kesedaran dan pengetahuan kepada ibu bapa Orang Asli betapa pentingnya pelajaran terhadap anak-anak di bawah jagaan mereka.

“Kita juga hendak menggalakkan pelajar-pelajar Orang Asli untuk terus bersemangat dalam menuntut ilmu bermula dari sekolah rendah lagi kerana ada di antara mereka yang enggan meneruskan pelajaran untuk ke sekolah menengah.

Yazid (duduk, lima kanan) selepas merasmikan Program Pendidikan Sepanjang Hayat di Kampung Orang Asli Segamat Kecil
Yazid (duduk, lima kanan) selepas merasmikan Program Pendidikan Sepanjang Hayat di Kampung Orang Asli Segamat Kecil

“Bagi saya, faktor jarak dan terletak di kawasan pedalaman bukan alasan bagi masyarakat Orang Asli untuk berjaya kerana ibu bapa seharusnya menyedari segala kelemahan dan kekuatan yang ada pada anak mereka khususnya dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata dalam ucapannya selepas merasmikan Program Pendidikan Sepanjang Hayat anjuran Jakoa Segamat dan Risda Plantation Sdn Bhd di Balairaya Kampung Orang Asli Segamat Kecil, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau juga turut mencadangkan agar anak-anak Orang Asli di daerah ini yang sudah berjaya sama ada dalam bidang pendidikan dan kerjaya supaya dapat membantu dan menyumbang semula di kampung mereka sekaligus dapat dijadikan motivasi.

Pada masa sama, kewujudan jalan pintas Felda Redong-Selancar yang melalui hadapan Kampung Orang Asli Segamat Kecil, di sini, diharap dapat membantu mengatasi masalah keciciran pelajar di sekolah menengah.

“Sekolah menengah yang paling hampir di kawasan mereka adalah di Pekan Tenang Station yang sejauh kira-kira 15 kilometer dan sebelum jalan ini siap dan berturap, mereka terpaksa melalui jalan merah untuk ke sekolah.

“Selain faktor peribadi, masalah ini juga menyebabkan anak-anak Orang Asli di sini enggan meneruskan persekolahan mereka di peringkat menengah selepas tamat bersekolah rendah dan sebab itu kami mahu mengubah keadaan ini,” katanya.

Menurutnya, bilangan penduduk Orang Asli berketurunan Jakun di kawasan tersebut juga semakin bertambah dengan kira-kira 160 keluarga terdiri daripada 670 orang dan 30 keluarga dengan isi rumah seramai 150 orang adalah beragama Islam.

 

(Visited 644 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!