LABIS – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memandang serius kes perceraian dalam kalangan keluarga Islam di negeri ini dan pelbagai usaha sedang dijalankan bagi menangani masalah tersebut.
Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut berkata, langkah proaktif perlu diambil memandangkan Johor menduduki tempat ketiga di belakang Selangor dan Wilayah Perseketuan dalam kes perceraian pasangan Islam pada tahun lalu.
“Sebelum ini kita mempunyai Modul Keluarga Sakinah yang telah banyak memberi kesan positif serta dapat mengurangkan berlakunya kes penceraian dalam kalangan pasangan Islam di negeri ini.
“Bagi memperkasakan lagi modul yang sedia ada, JAINJ telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Jelajah Kempen Keluarga Bahagia ke setiap daerah di negeri ini bagi menangani peningkatan kes perceraian pasangan Islam di negeri ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas menjadi panel Forum Keluarga Bahagia, Kefahaman Islam dan Hijrah yang mengupas isu serta prinsip keluarga bahagia mengikut pandangan Islam di Dataran Labis di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, jelajah tersebut yang dilaksanakan melalui Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam akan bekerjasama dengan Pejabat-Pejabat Agama Daerah bagi memberi kefahaman serta keinsafan tentang prinsip keluarga bahagia menurut pandangan Islam.

“Matlamat program ini antara lain bertujuan menyedarkan masyarakat bahawa kerukunan serta keutuhan institusi keluarga tidak boleh dipandang ringan kerana ianya turut mempengaruhi keatabilan negara dan kekuatan umat Islam itu sendiri secara keseluruhan.
“Kami mengariskan 10 perkara berlandaskan ajaran Islam yang perlu dipraktikkan dalam rumah tangga iaitu mengamalkan aktiviti Islam, iman, taat kepada Allah, Rasul, pemerintah, jujur, sabar, bersifat pendamai serta penyelamat kepada rumahtangga,” katanya.
Menurutnya, program ini diharap mampu memberi nilai tambah kepada semua program yang telah diadakan kerana fokus JAINJ bukan hanya kepada pasangan muda yang baharu berumahtangga, malah kepada pasangan yang telah lama berkahwin.
Katanya, beliau meminta masyarakat supaya melengkapkan diri dengan ilmu agama dan rumah tangga sebelum melangsungkan perkahwinan bagi mengurangkan kes perceraian sekali gus membentuk sebuah keluarga bahagia.
“Sebenarnya institusi keluarga itu adalah asas pembangunan sesebuah negara dan kalau institusi keluarga itu berjalan dengan baik, maka negara pun akan jadi lebih baik,” katanya.
Comments