SEGAMAT – Masalah anak-anak Orang Asli di Kampung Segamat Kecil, di sini yang enggan meneruskan persekolahan mereka di peringkat menengah selepas tamat bersekolah rendah seharusnya tidak timbul.

Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, sebelum ini ada anak-anak Orang Asli enggan bersekolah menengah ekoran faktor jarak kerana sekolah menengah yang paling hampir di kawasan mereka adalah di Pekan Tenang Station yang sejauh kira-kira 15 kilometer.

“Dahulu, mungkin akses dari kampung ini ke sekolah begitu teruk dengan keadaan jalan merah dan tidak berturap. Namun, selepas pembinaan Jalan Felda Redong-Felda Selancar yang melalui hadapan kampung ini, masalah itu sepatutnya dianggap selesai.

“Masalah jarak juga tidak boleh digunakan sebagai alasan kerana pelbagai kemudahan telah disediakan kerajaan kepada pelajar Orang Asli agar mereka tidak menjadikan keperluan sebagai alasan untuk meraih kejayaan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Pecutan Akhir Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Segamat Kecil, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor, Wan Assim Wan Shekh; Pegawai Jakoa Segamat, Mohd Yazid Beram dan Guru Besar SK Segamat Kecil, Mohd Ariffin Mohd Tab.

Menurutnya, kesedaran ibu bapa dan pelajar Orang Asli juga amat diperlukan bagi memastikan pencapaian akademik yang diperoleh setanding dengan masyarakat luar sekaligus mengatasi masalah keciciran pelajaran ini.

“Selain itu, faktor sikap dan peribadi mereka itu sendiri yang menjadi penyumbang kepada masalah ini dan bukannya kerana masalah kewangan, prasarana ataupun kemudahan kerana saya lihat masih ada pelajar Orang Asli yang cemerlang.

“Bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan, Jakoa bersama mahasiswa Duta Jauhar sebelum ini juga telah mengatur pelbagai aktiviti dan program pendidikan dengan harapan isu keciciran ini dapat dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Wan Assim berkata, pada tahun ini, seramai 36 pelajar Orang Asli di daerah Segamat akan menduduki peperiksaan UPSR dan Jakoa juga sentiasa memberi fokus terhadap isu pendidikan Orang Asli.

Katanya, selain itu, Jakoa turut memperuntukkan sejumlah perbelanjaan untuk memastikan kelas-kelas tuisyen yang diadakan setiap hujung minggu pada waktu malam dan cuti-cuti umum dapat berjalan lancar.

“Kerajaan juga tidak pernah mengabaikan kebajikan dan pendidikan masyarakat Orang Asli bagi memastikan mereka menikmati kemudahan sama seperti kaum lain,” katanya.

(Visited 611 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!