LABIS – Kesedihan seorang ibu tunggal di Felda Redong di sini yang kehilangan suami sebulan lalu sedikit terubat selepas menerima wang pengurusan jenazah Perkeso sebanyak RM 1,500 baru-baru ini.
Noryati Ismail,41, berkata, selain berhasrat untuk mengadakan majlis tahlil arwah suaminya, Hussin Selamat yang meninggal dunia selepas terjatuh di atas lif pemunggah barang bulan lepas, dia bercadang menggunakan wang yang diterima untuk mengambil lesen motosikal anaknya.
“Selepas ketiadaan suami saya mengalami masalah untuk bergerak memandangkan saya dan anak-anak tidak mempunyai lesen memandu walaupun arwah suami saya ada meninggalkan sebuah kereta dan motosikal.
“Apa yang lebih merunsingkan saya apabila saya terpaksa membenarkan anak kedua saya yang berusia 17 tahun menunggang motosikal dengan memboncengkan adiknya berusia 14 tahun untuk ke sekolah yang terletak kira-kira lapan kilometer dari rumah,” katanya.
Ibu kepada enam anak berusia lapan hingga 19 tahun itu berkata kepada pemberita selepas menerima wang pengurusan jenazah Perkeso yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap di Felda Redong di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengurus Cawangan Perkeso Segamat, Roslinda Juanis dan Pengurus Felda Redong, Rosli Majid.
Katanya, selain itu dia juga bercadang menggunakan wang yang diterima itu untuk membaiki oven pembakar kuih miliknya yang rosak menyebabkan aktiviti membuat kuih yang menjadi punca pendapatannya selama ini terjejas.
Menurutnya, selepas ketiadaan suaminya, dia hanya bergantung hasil jualan kuih daripada penduduk setempat untuk menyara keluarga.
“Saya juga dimaklumkan oleh pihak Perkeso sedang dalam proses meluluskan permohonan untuk mendapatkan pencen penakat bagi saya dan anak-anak.
“Jika permohonan saya diluluskan, wang tersebut sedikit sebanyak mampu meringankan beban saya untuk membesarkan anak-anak saya yang masih kecil,” katanya.
Roslinda meminta waris pencarum Perkeso di sini agar membuat semakan di Pejabat Perkeso berhampiran bagi mengelakkan mereka tercicir untuk menerima skim yang disediakan Perkeso.
Comments