SEGAMAT – Majlis Agama Islam Johor (Maij) akan terus memperkasakan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (IASWJ) dengan merancang untuk membina satu kawasan khusus bagi IASWJ di Bandar Universiti Pagoh, dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Rofiki Shamsudin berkata, kawasan berkeluasan kira-kira 10 ekar juga telah dipilih bagi menjadikan IASWJ ini sebagai pusat rujukan bagi fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
“Buat masa sekarang, IASWJ ini diletakkan di Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (UTHM) dan mendapat kerjasama daripada MAIJ sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 2012 dengan idea dan inisiatif yang digagaskan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“IASWJ ini adalah institut penyelidikan dan perundingan dalam pelbagai bidang yang berkaitan ASWJ melalui pendekatan holistik bagi melahirkan modal insan ASWJ yang kompetan dan berintegriti,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Program Khidmat Masyarakat Insaniah dan Forum Perdana Zakat di Balairaya Kampung Lubok Kepong, di sini.
Turut hadir ialah Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim dan Ketua Kampung Lubok Kepong, Khalid Ibrahim.
Menurutnya, pihaknya belum menerima sebarang rayuan daripada 16 individu yang dilarang memberi ceramah atau mengajar Islam di negeri ini selepas pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abdul Mutalip Abdul Rahim, baru-baru ini.
“Mungkin perkara ini masih baru lagi dan pihak kami memandang serius ancaman akidah di negeri ini termasuk memberi ceramah dan menyebarkan fahaman yang tidak sealiran dengan ASWJ.
“Kami tidak mahu rakyat di negeri ini terkeliru dan cukuplah berpegang dengan fahaman ASWJ dan mereka yang melihat sebarang aktiviti yang bercanggah dengan Islam dan ASWJ di negeri ini boleh terus melaporkan kepada kami,” katanya.
Pada masa sama, MAIJ telah membelanjakan RM40 juta pada tahun lalu hanya untuk 3,000 pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis selain memandang berat masalah buta huruf dan kemiskinan umat Islam di negeri ini.
Menurutnya, beliau juga berharap peningkatan jumlah pembayar zakat dan jumlah kutipan zakat di negeri ini akan terus berlaku pada masa akan datang bagi membolehkan lapan golongan asnaf di negeri ini dapat terus dibantu.
Comments