SEGAMAT – Seorang isteri di Felda Redong, di sini, kehilangan tempat bergantung apabila suaminya meninggal dunia selepas terjatuh di atas lif pemunggah barang dalam kejadian di Jalan Chia Chin Koon, di sini, baru-baru ini.

Noryati Ismail, 41, berkata, dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi, arwah suaminya, Husin Selamat, 44, dikatakan tergelincir dari tingkat satu tempat kerjanya iaitu premis menjual perkakasan binaan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

“Ketika kejadian, saya bersama dua anak berada di dalam bas menuju ke Ayer Hitam untuk pulang ke rumah ibu saya di Johor Bahru dan hanya mengetahui kejadian malang itu selepas dihubungi oleh majikan arwah suami.

“Saya kemudian mengambil teksi dari Ayer Hitam ke Hospital Daerah Segamat (HDS) dan sewaktu tiba di Labis, baharulah majikan arwah suami memberitahu saya yang suami sebenarnya sudah meninggal dunia,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, mengikut perancangan awal, arwah suaminya juga turut bersamanya dan anak-anak untuk pulang ke Johor Bahru memandangkan ibunya mahu mengadakan kenduri tahlil dan arwah.

Bagaimanapun, arwah suaminya enggan meminta cuti daripada majikannya memandangkan baharu bekerja di kedai perkakasan tersebut pada penghujung bulan Februari lalu dan meminta agar dia bersama dua anaknya sahaja yang pulang ke Johor Bahru.

Noryati bersama arwah suaminya.

“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah suami adalah pada pagi Jumaat lalu sewaktu dia menghantar saya serta anak-anak ke perhentian bas di depan Felda Redong dan ketika itu arwah sempat berpesan agar saya menjaga diri dan anak-anak sepanjang perjalanan.

“Sebenarnya, sudah seminggu arwah suami tidak sihat kerana dia menghidap asma dan saya juga tidak sanggup untuk melihat video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan suami terjatuh,” katanya.

Menurutnya, dia yang tidak bekerja juga terpaksa membesarkan sendirian lima anaknya yang masih bersekolah iaitu Norhaslinda, 19; Mohd Haris, 17; Norhazwani, 14; Norhazirah, 11 dan Mohd Haikal Ramadan, 8.

Katanya, dia juga menghidap masalah kesihatan apabila disyaki menghidap kanser rahim selain anak keduanya, Mohd Haris juga menghidap penyakit talasemia dan terpaksa berulang alik ke HDS bagi menjalani pemindahan darah dan pemeriksaan kesihatan.

“Norhazwani pula dijaga oleh adik saya di Chaah sejak berumur dua bulan selain terpaksa memikirkan ansuran sewa rumah dan kos persekolahan anak-anak dan saya hanya mengambil tempahan kuih muih untuk menambah pendapatan.

“Saya mungkin akan tinggal bersama ibu saya selepas Mohd Haris tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bercadang untuk memohon bantuan sama ada daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal selepas ini,” katanya.

(Visited 1,049 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!