SEGAMAT – Seorang pesara tentera di Kampung Paya Lang 2, di sini, tidak menyangka jangkitan kuman yang dialaminya ketika bencana banjir, baru-baru ini, akan menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong.

Ismail Marjo, 48, berkata, pada awalnya kaki kirinya hanya mengalami sedikit luka sewaktu sibuk mengemas rumahnya yang dinaiki air sebelum luka tersebut bertambah melarat sehingga menjejaskan kesihatannya.

“Saya memang menghidap kencing manis dan sewaktu di pusat pemindahan banjir, saya mengalami muntah-muntah dan cirit-birit sebelum dikejarkan ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pada 13 Februari lalu, doktor mengesahkan jari kaki saya sudah dijangkiti kuman dan terpaksa dipotong bagi mengelakkan kuman merebak dan ketika itu saya terpaksa membenarkannya kerana doktor kata boleh menjejaskan nyawa,” katanya.

Dia ditemui di rumahnya sewaktu menerima penyerahan kerusi roda sumbangan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang disampaikan oleh Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim.

Menurut suami kepada Sarah Md Rakof, 48, selepas pembedahan memotong jari kirinya, doktor terpaksa menjalankan dua lagi pembedahan sehingga ke paras bawah lutut disebabkan jangkitan kuman yang sudah merebak.

Katanya, selepas pembedahan tersebut juga, pandangan mata kirinya juga semakin kabur selain terpaksa menjalani rawatan mata secara susulan di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Melaka.

“Mungkin selepas kaki saya dipotong, kesannya pula kepada mata dan kehidupan saya juga berubah 100 peratus kerana masih berasa janggal kehilangan kaki dan disebabkan itu saya terpaksa meminta sumbangan kerusi roda.

“Sekarang ini saya terpaksa bergantung kepada pencen tentera yang tidak seberapa kerana isteri tidak bekerja selain saya terpaksa menyara dua anak yang masih bersekolah dan seorang lagi di universiti,” katanya lagi.

Pergerakan juga semakin terbatas dan terpaksa meminta bantuan isterinya untuk menguruskan diri dan bercadang untuk membuat kaki palsu dalam masa terdekat walaupun mengakui kosnya yang sangat tinggi.

Sementara itu, Norshida berkata, beliau meminta Ismail agar membuat permohonan kad orang kelainan upaya (OKU) di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat bagi memastikan sebarang bantuan selepas ini dapat disalurkan dengan lebih mudah.

“Selain itu, saya berharap agar Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVTM) Cawangan Segamat mungkin boleh membantu meringankan beban Ismail seperti membantu membiayai pembuatan kaki palsu Ismail ini,” katanya.

(Visited 548 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!