SEGAMAT – Pilihan berani seorang bekas pegawai bank di Kuala Lumpur untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan membuahkan hasil selepas produk tudung dan baju rekaannya kini mula mendapat tempat di pasaran.
Pemilik Hijabiza, Izawati Ahmad, 35, yang juga anak jati daerah Segamat berkata, dia nekad meletakkan jawatan pada penghujung tahun 2009 sebelum memulakan perniagaan menjual kain secara kecil-kecilan pada awal tahun 2010.
“Waktu itu saya berniaga sendiri dan memberanikan diri masuk ke setiap pasar malam di daerah ini serta saya antara peniaga terawal di Bazar Karat Segamat yang mula beroperasi pada awal tahun 2011 dan masih lagi dalam ingatan pasar malam yang pertama tempat saya berniaga ialah di Felda Pemanis dengan menjual tudung tanpa sebarang pengalaman.
“Barang-barang yang dijual pada ketika itu juga diambil daripada pembekal lain dan banyak cabaran yang dilalui oleh saya pada awalnya sehingga kadang-kala pernah terfikir untuk berputus asa dan berhenti separuh jalan sahaja,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Menurutnya, dia kemudian cuba mempelbagaikan lagi teknik pemasaran dan jualannya secara atas talian sebelum memberanikan diri menyewa sebuah kiosk kecil di Pasaraya One Segamat, di sini, pada tahun 2013.
Katanya, disebabkan sambutan hangat yang diterima daripada pengunjung dan penduduk daerah ini, dia menyewa dua lagi kiosk di pasaraya tersebut selepas enam bulan berniaga tudung dan baju di dalam pasaraya berkenaan.
“Kemudian pada penghujung tahun 2014, saya mula menghasilkan tudung saya sendiri dan terfikir untuk menjenamakannya kerana berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan pembeli akan membeli suatu barangan yang mempunyai jenama.

“Selepas berbincang bersama suami, kami sepakat untuk memilih nama Hijabiza iaitu gabungan nama saya dan hijab serta memilih sebuah kilang di Selangor untuk menjahit tudung ciptaan saya,” katanya.
Menurutnya, dia juga beruntung kerana suaminya, Mohd Hafidz Mohamad, 35, juga sanggup melepaskan jawatan sebagai pegawai bank pada tahun 2010 semata-mata untuk membantunya menguruskan perniagaan tudungnya itu.
Katanya, meskipun tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang rekaan fesyen, dia berjaya menghasilkan enam jenis tudung pelbagai jenis termasuk selendang sebelum dijual di antara harga RM5 hingga RM55.
“Pada tahun ini juga, saya telah memberi nilai tambah terhadap jenama saya sendiri dengan menghasilkan baju perempuan seperti baju kurung dan blouse dan dua bulan lalu juga, saya telah menaiktaraf kiosk tudung saya kepada kedai di pasaraya yang sama.

“Tambah membanggakan, saya kini mampu mengupah lapan pekerja di kedai saya ini yang kesemuanya merupakan anak jati daerah Segamat dan mereka juga berbangga kerana ada anak jati Segamat yang mampu mengeluarkan produk tudung dan baju yang berjenama,” katanya.
Menurutnya, dia mengakui perlu bergerak pantas untuk mempelbagaikan lagi produknya berbanding produk-produk tudung berjenama yang lain kerana produk tudung yang berada di pasaran sentiasa berubah dengan cepat setiap hari.
Katanya, dia juga akan membuka satu lagi cawangan Hijabiza di Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada tahun ini berdasarkan permintaan serta sambutan terhadap produknya itu.
Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan produk Hijabiza ini boleh datang terus ke Pasaraya One Segamat di lot kedai G28 dan G29 atau layari laman Facebook Hijabiza atau Instagram @hijabizalookbook untuk mendapatkan perkembangan terkini atau produk baharu keluaran mereka.
Comments