SEGAMAT – Bangunan baharu tujuh tingkat milik Wisma Pertubuhan Hemodialisis Muhibbah Segamat (PHMS) di Bandar IOI, di sini, akan memulakan operasinya dalam masa terdekat selepas memulakan pembinaannya pada tahun 2012 dan telah menerima sijil menduduki (CF), baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pusat hemodialisis yang terdapat di negeri ini juga sepatutnya mencontohi PHMS dalam memberikan servis dan perkhidmatan kepada setiap pesakitnya.
“Ini kerana kos yang dikenakan oleh pertubuhan tersebut sangat murah dan berpatutan iaitu sebanyak RM20 untuk setiap kali sesi rawatan berbanding RM130 untuk setiap sesi di pusat hemodialisis lain.
“PHMS ini mampu memberikan servis dan perkhidmatan kepada 154 orang pesakit pada satu-satu masa kerana di Hospital Daerah Segamat (HDS) sendiri pun kita tidak boleh memberikan rawatan seperti ini kerana faktor tempat dan mesin yang tidak mencukupi,” katanya.
Ayub yang juga Adun Kemelah berkata kepada pemberita selepas merasmikan Jamuan Amal Untuk Tabung Pertubuhan Hemodialisis Muhibbah Segamat di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jagoh, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Hemodeolisis Muhibbah Segamat, Tan Sri Tan Beng Tong; Ketua MCA Bahagian Segamat, Datuk Dr Lee Hong Tee dan Adun Pemanis, Lau Chin Hoon.
Menurutnya, Pusat Hemodialisisi Muhibbah juga merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu kerajaan kerana tidak semua pesakit dialisis mampu untuk mendapatkan rawatan kerana kosnya yang tinggi.
“Perkara yang dilakukan ini sangat-sangat membantu kerajaan kerana melalui pemerhatian saya di seluruh negara, saya melihat kos yang dikenakan oleh pertubuhan ini sangat murah dan tidak terdapat di mana-mana hanya di Segamat.
“Pusat ini juga akan memberikan subsidi sebanyak RM50 kepada pesakit dialisis dan RM50 ditanggung oleh kerajaan manakala pesakit hanya perlu membayar RM20 sahaja dan ini memang di dalam lingkungan kemampuan pesakit itu sendiri,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga turut prihatin terhadap kesejahteraan dan kesihatan bangsa Johor apabila memberikan peruntukan sebanyak RM400,000 kepada PHMS.
Pada masa sama, kes baru diabetis dan kencing manis meningkat di antara 2.7 hingga tinga peratus setiap tahun dan pada tahun 2013 sahaja, dianggarkan 12,000 kes baharu di Johor termasuk 2,000 kes di Segamat dan danggarkan 40 peratus penduduk berpotensi menghidap penyakit ini akibat gaya hidup, obesiti dan pemakanan.
“Pada tahun lalu, kita telah membelanjakan kira-kira RM54 juta melalui Majlis Agama Islam Johor (Maij), tabung bantuan hospital, bantuan kakitangan negeri melalui Setiausaha Kerajaan Negeri bahagian pengurusan yang meliputi bantuan dialisis, alat tiruan kesihatan dan lain-lain,” katanya.
Comments