LABIS – Hasrat seorang warga emas di Felda Tenang, di sini, untuk mengubahsuai halaman rumahnya tidak kesampaian selepas wang sebanyak RM2,000 yang dikeluarkan dari bank lesap dipercayai dilarikan sorang remaja lelaki yang juga cucunya.
Warga emas berkenaan yang ingin dikenali sebagai Salmah, 72, berkata, dia yang mengeluarkan wang simpanannya dari salah sebuah bank di Pekan Labis, Selasa lalu, hanya menyedari kehilangan wangnya pada keesokan harinya.
“Mak cik hanya tinggal berdua dengan anak perempuan yang juga ibu kepada cucu mak cik dan dia tidak tinggal bersama kami selepas ibu bapanya berpisah, namun dia sering datang menjenguk kami berdua.
“Kebetulan dia ada datang ke rumah pada hari mak cik mengeluarkan wang tersebut dan keluar pada tengah malam hari yang sama sebelum mak cik mendapati wang yang disimpan dalam beg tangan telah hilang,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Labis, baru-baru ini.
Menurutnya, dia mengakui kejadian kehilangan wang di rumahnya ini bukan kali pertama, malah sudah seringkali berlaku dimana sebelum ini dia pernah kehilangan barang kemas yang bernilai puluhan ribu ringgit.
Katanya, apa yang menghairankannya, kejadian kehilangan wang dan barangan berharga hanya berlaku ketika cucunya datang ke rumahnya walaupun wang dan barangan berharga disimpan di tempat yang tersembunyi.
“Selama ini mak cik hanya mendiamkan diri kerana mahu memberi peluang kepada pelaku agar insaf dan kembali ke pangkal jalan, namun kini mak cik terpaksa membuat laporan polis kerana sudah hilang sabar.
“Mak cik redha dengan apa jua hasil siasatan polis dan jika ditakdirkan pelakunya adalah cucu mak cik sendiri sekalipun, mak cik akan terima kenyataan ini keran niat mak cik bukan untuk menghukum, sebaliknya sebagai pengajaran agar dia insaf,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, beliau mengesahkan mengerima laporan berhubung kejadian tersebut dan siasatan selanjutnya akan dilakukan.
Comments