LABIS – Hasrat seorang suami di Taman Karas, di sini, untuk membawa isterinya pergi bercuti ke Langkawi pada 8 Ogos ini tidak menjadi kenyataan apabila isterinya maut dalam kemalangan jalan raya pada petang 8 Julai lalu.
Johar Sabiran, 52, berkata, isterinya, Hasnah Abdul Rahman, 50, disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Segamat (HDS) selepas bahagian belakang kereta Proton Wira yang dinaiki mereka dilanggar oleh sebuah lori sawit.
“Kemalangan tersebut berlaku sekelip mata ketika saya mahu membelok masuk ke simpang taman saya dan jarak lokasi kemalangan ke rumah saya hanya kira-kira 10 meter dan selepas kemalangan itu saya terus tidak sedarkan diri.
“Sewaktu sedarkan diri di HDS, adik ipar saya memberitahu isteri telah meninggal dunia dan saya cuba mengumpul kekuatan untuk menerima kenyataan pahit itu,” katanya baru-baru ini.
Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia yang mengalami kecederaan patah rusuk kanan dan tulang pinggul juga sempat menatap wajah arwah isterinya buat kali terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Karas, di sini.
Katanya, dia juga terkilan kerana tidak dapat menemani jenazah isterinya sehingga ke liang lahad kerana tidak diizinkan oleh doktor ekoran keadaan dirinya yang lemah dan hanya mengunjungi pusara isterinya selepas dibenarkan keluar dari wad.
“Sebelum ini saya sudah merancang dengan arwah untuk bercuti ke Langkawi pada 8 Ogos lalu sebelum ke Sabah pada hujung tahun bagi meraikan ulang tahun perkahwinan kami ke-31, namun perancangan ALLAH itu mengatasi segalanya.
“Pada awal bulan Ramadan lalu, arwah sering berpesan kepada saya sekiranya dia tiada lagi di dunia ini, jangan tinggalkan kawan-kawan dia kerana arwah semasa hayatnya seorang yang cukup aktif bermasyarakat dan berpersatuan,” katanya.
Menurutnya, dia juga akan kekal tinggal di rumahnya sekarang walaupun seorang diri memandangkan kesemua anaknya sudah mempunyai kehidupan sendiri selain rumahnya itu menyimpan memorinya bersama arwah isterinya.
Sementara itu, anak sulung pasangan tersebut, Nooridayu, 30, berkata, arwah ibunya juga yang sebelum ini ceria bertukar menjadi pendiam semasa Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini, dan perkara tersebut turut disedari dua lagi adiknya, Norhidayati, 26, dan Norliamera, 26.
“Arwah emak lebih banyak mendiamkan diri dan sering mengadu penat dan pada pagi Syawal juga, emak memakai baju kurung putih dan tidak sangka tahun ini adalah Syawal kami yang terakhir bersama emak.
“Kali terakhir saya berjumpa dengannya adalah pada enam Syawal lalu dan saya tidak sempat menatap wajah arwah emak buat kali terakhir kerana tinggal di Kedah dan hanya sempat tiba selepas arwah dikebumikan,” katanya.
Comments