LABIS – Kerja-kerja menaik taraf jalan persekutuan bermula dari Kampung Desa Temu Jodoh-Kampung Kwongsai sejauh 40 kilometer bermula bulan Julai ini diharap mampu meningkatkan ekonomi serta pembangunan di kawasan Parlimen Labis apabila siap kelak.
Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, projek tersebut juga membuktikan kerajaan sentiasa prihatin terhadap sebarang masalah yang dihadapi oleh rakyat dan penduduk di sini yang mahukan jaringan jalan raya yang selesa.
“Pembinaan jalan ini juga sebenarnya telah lama dimohon oleh saya sejak menjadi Ahli Parlimen pada tahun 2008 dan menjadi salah satu janji saya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.
“Saya juga mendapat tahu ada pihak yang mendakwa projek ini tidak akan dijalankan kerana janji politik dan hari ini saya telah menyangkal dakwaan tersebut dengan membawa projek yang berimpak tinggi seperti ini,” katanya.
Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata kepada pemberita semasa Jelajah FT Roadpedia Zon Selatan Kementerian Kerja Raya di Masjid Kampung Desa Temu Jodoh, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, selain menaiktaraf jalan, peruntukkan tersebut juga akan digunakan untuk menaiktaraf tiga jambatan berkembar yang terdapat di sepanjang laluan tersebut kerana keadaan jambatan tersebut boleh mengundang padah kepada pengguna jalan raya.
Katanya, antara jambatan yang terlibat ialah Jambatan Sungai Temangan, Jambatan Sungai Karas dan Jambatan Sungi Lendir selain kerja-kerja pembinaan akan bermula secara berfasa kerana terdapat pengalihan utiliti di sepanjang jalan.
“Projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan mungkin akan memakan masa agak lama dan sepanjang tempoh tersebut mungkin terdapat beberapa gangguan dan kesulitan yang akan dihadapi oleh pengguna jalan raya.
“Saya berharap pengguna jalan raya dapat bersabar dan memahami bahawa kesulitan yang mereka hadapi sepanjang tempoh tersebut adalah bersifat sementara sebelum menikmati kemudahan serta keselesaan apabila kerja tersebut siap sepenuhnya,” katanya.
Comments