SEGAMAT – Seorang suami di Kampung Spang Loi, di sini, terpaksa mengharapkan bantuan isterinya untuk bergerak dan menguruskan diri selepas disahkan lumpuh separuh badan bermula dari bahagian pinggang ke bawah pada Oktober tahun lalu.
Mohd Bakri Rahmat, 40, berkata, kini, segala urusan rumah termasuk keperluan enam anaknya terpaksa dipikul di bahu isterinya, Rozana Abdullah, 30, yang bekerja di sebuah kilang kayu di Batu Anam, di sini.
“Sebelum ini kami sekeluarga memang tinggal di sini dengan menumpang di rumah keluarga saya dan dahulu saya bekerja memandu lori manakala isteri sebagai pekerja pembersihan di sebuah sekolah rendah di sini.
“Namun, pada tahun 2014, kami mengambil keputusan untuk tinggal di Melaka dan saya bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah syarikat swasta hampir setahun sebelum disahkan lumpuh pada tahun lalu,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurutnya, ketika di Melaka, dia beberapa kali dikejarkan ke Hospital Melaka kerana mengalami sawan dan disyaki mengalami demam denggi sebelum penyakitnya itu bertambah serius apabila dia pengsan ketika sedang bekerja.
Katanya, sewaktu di Hospital Melaka, doktor telah memasukkan sejenis ubat yang mengakibatkan badannya membengkak sebelum disahkan lumpuh separuh badan dari bahagian pinggang hingga ke kaki.
“Saya kemudian mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan mahu mencuba rawatan tradisional pula bagi mengelakkan penyakit ini bertambah melarat dan dengan bantuan seorang rakan, dia setuju menghantar kami sekeluarga ke kampung.
“Di kampung, saya terpaksa menumpang rumah keluarga pada peringkat awal sebelum meminta bantuan adik beradik untuk membina sebuah pondok menggunakan bahan-bahan terbuang bersebelahan rumah keluarga saya,” katanya.
Menurutnya, apabila waktu malam, dia bersama isteri dan anak bongsunya yang berumur tujuh bulan terpaksa menumpang tidur di rumah bapanya, Rahmat Mat Hassan, 80, kerana tidak mahu berhimpit bersama anaknya yang lain di dalam pondok tersebut.
Katanya, lima lagi anaknya pula terpaksa tidur di dalam pondok tersebut yang hanya mempunyai sebuah bilik sahaja selain terpaksa menarik bekalan elektrik dan air daripada rumah bapanya itu.
“Memang saya risaukan anak-anak yang lain apabila waktu malam namun saya tiada pilihan lain kerana rumah keluarga saya juga tidak muat sekiranya semua anak-anak saya tidur di sana kerana terdapat dua lagi keluarga di sana.
“Pondok ini memang tidak selesa dan tiada ciri-ciri keselamatan dan apabila hujan, kami sekeluarga terpaksa meletakkan besen atau baldi kerana bumbung pondok ini kebanyakkan sudah bocor dan berlubang,” katanya.
Katanya, disebabkan hanya isterinya sahaja yang bekerja dan tidak mempunyai kemampuan, anak sulungnya, Siti Zahrah, 13, terpaksa berhenti sekolah manakala dua lagi anaknya merupakan pelajar pendidikan khas.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan mereka melalui akaun Ambank milik Rozana bernombor 88810004044331 atau menghubunginya di talian 0177312439.
Sementara itu, Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, beliau sudah melawat sendiri keluarga berkenaan selain menyumbang sebuah kerusi roda kepada Mohd Bakri, baru-baru ini dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah melakukan siasatan serta meluluskan bantuan bulanan untuk anak sebanyak RM300 sebulan, manakala MAIJ telah meluluskan bantuan sebanyak RM500.
Comments