SEGAMAT – Akibat ketiadaan bekalan elektrik dan air, kira-kira 30 pemilik rumah di kawasan Perumahan Generasi Kedua Felda Tenang, di sini, terpaksa menangguhkan hasrat mereka untuk menduduki rumah baharu tersebut.

Salah seorang pemilik, Baharum Said, 57, berkata, disebabkan masalah tersebut juga, harapannya untuk melangsungkan majlis perkahwinan anak perempuan sulungnya, Nurul Safinah Hazirah, 25, di rumah baharu itu pada 22 Ogos lalu juga tidak kesampaian.

“Pada awalnya saya beranggapan masalah ini dapat disiapkan sebelum majlis perkahwinan anak saya. Tetapi anggapan tersebut meleset kerana akhirnya saya terpaksa melangsungkan majlis perkahwinan anak di dewan serbaguna Felda.

“Rumah ini sudah siap sepenuhnya kira-kira dua tahun lalu dan saya juga terpaksa membayar ansuran bulanan sebanyak RM150 kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) walaupun saya tidak menduduki rumah ini,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Menurutnya, selagi masalah tersebut tidak selesai, dia dan keluarganya tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa menumpang di rumah kedua ibu bapanya bersama beberapa lagi adik beradiknya yang lain.

Baharum menunjukkan meter pendawaian elektrik yang belum disambung ke rumahnya.
Baharum menunjukkan meter pendawaian elektrik yang belum disambung ke rumahnya.

Katanya, setiap beberapa hari sekali juga, dia akan mengunjungi rumah tersebut untuk mengemas halaman rumahnya dan sudah meletakkan beberapa hiasan laman bagi menceriakan kawasan rumahnya itu.

“Sekarang, hendak bersihkan kawasan ini pun seperti sudah malas kerana segala-galanya memerlukan bekalan air dan elektrik. Ada pemilik rumah yang sudah berputus asa dengan masalah ini membiarkan rumah mereka dipenuhi semak dan lalang sahaja.

“Saya berharap pihak berwajib dapat melihat masalah kami dan menyegerakan permohonan untuk pemasangan bekalan air dan elektrik walaupun sudah beberapa kali aduan dan dialog dibuat,” katanya.

Bagi Abdul Shukur Othman, 50, berkata, dia yang telah memasukkan beberapa perabut perhiasan rumah turut melahirkan rasa kesal kerana rumah mesra rakyat miliknya yang sudah lebih setahun siap itu kini dibiarkan sepi tanpa penghuni.

Abdul Shukur Othman
Abdul Shukur Othman

Menurutnya, ada juga pemilik rumah yang nekad tinggal di rumah tersebut dengan menggunakan mesin penjana kuasa elektrik tetapi tetap tidak boleh menyelesaikan masalah yang mereka hadapi kerana ketiadaan bekalan air bersih pula.

“Saya tidak mampu untuk menggunakan mesin penjana kuasa elektrik tersebut kerana memerlukan kos bahan api yang tinggi selain bekalan elektriknya tidak mampu menanggung peti sejuk, televisyen dan mesin basuh pada satu masa yang sama.

“Apa yang paling mendukacitakan, ada beberapa rumah penduduk di sini menjadi mangsa vandalisme pihak yang tidak bertanggungjawab dengan tingkap mereka dipecahkan. Sebelum ini juga kawasan ini turut dijadikan lokasi individu yang tidak bermoral,” katanya.

(Visited 519 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!