LABIS – Seorang warga emas di Kampung Tenang, di sini, akan menggunakan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diterimanya, semalam, untuk membeli barang keperluan hariannya.

Zulhijab Adam, 60, berkata, dia yang masih bujang dan belum berkahwin juga tidak mempunyai pendapatan tetap kerana mengalami kecacatan pada kaki kanannya akibat kemalangan jalan raya kira-kira 20 tahun lalu.

“Kaki pak cik jadi begini kerana dilanggar bas pada tengah malam dan ketika itu pak cik sedang berjalan untuk pulang ke rumah dan sehingga ke hari ini, pak cik tidak boleh berjalan dengan betul selain tidak boleh melakukan pekerjaan berat.

“Pak cik sekarang hanya mengambil upah menoreh kebun orang dan pernah satu ketika, pak cik tidak makan sepanjang hari dan hanya mengalas perut dengan air paip sahaja kerana tiada apa yang hendak dimakan dan kehabisan wang,” katanya.

Dia ditemui semasa Majlis Penyampaian BR1M Parlimen Labis di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Labis, di sini, semalam, yang disampaikan oleh Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad; Pentadbir Tanah Daerah Segamat, Mohd Masni Wakiman dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Labis, Tan Chong.

Menurutnya, dia kini tinggal seorang diri di rumah peninggalan keluarganya selain terpaksa mengharapkan duit bantuan bulanan sebanyak RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Walaupun duit BR1M diterima sekali sahaja, ianya amat membantu terutamanya bagi penerima seperti pak cik dan pak cik terpaksa meminta bantuan rakan untuk mengambil duit ini.

“Pak cik sebenarnya merupakan bekas tentera namun diberhentikan kira-kira lima tahun selepas berkhidmat kerana mengalami penyakit mental dan sehingga ke hari ini terpaksa bergantung dengan ubat-ubatan,” katanya.

Bagi seorang lagi warga emas, Zainab Sadinem, 79, berkata, dia yang tinggal di Felda Maokil, di sini, dan terpaksa meminta bantuan daripada cucunya untuk datang mengambil duit bantuan tersebut.

Menurutnya, dia yang mengalami pelbagai komplikasi kesihatan seperti kencing manis dan semput juga terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak kira-kira dua tahun lalu selain tidak boleh berdiri terlalu lama.

Sementara itu, Mohd Azahar berkata, seramai 184 penerima bantuan BR1M pelbagai kategori di Parlimen Labis menerima baucar tersebut yang boleh ditunaikan secara terus di kaunter yang disediakan.

“Bagi penerima yang tidak dapat hadir hari ini, mereka boleh pergi ke Pejabat Daerah Segamat untuk menuntut baucar tersebut sebelum 22 Mac ini kerana selepas tarikh tersebut, baucar akan diposkan terus ke alamat penerima.

“Jumlah penerima yang menerima baucar juga semakin berkurangan pada tahun ini kerana kebanyakan mereka sudah mula sedar untuk membuka akaun bank dan duit bantuan ini akan dikreditkan secara terus ke dalam akaun mereka,” katanya.

(Visited 191 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!