SEGAMAT – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) perlu menggilap bakat atlet yang sedia ada bagi persediaaan menjelang Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur, tahun hadapan.
Bekas pelari pecut negara, Asisten Komisioner Rabuan Pit berkata, kejayaan pelari pecut muda negara, Badrul Hisyam Abdul Manap melakar sejarah dalam Kejohanan Sukan Sekolah Asean 2015 di Brunei juga adalah titik kebangkitan olahraga negara.
“Walaupun kejayaan Badrol dinafikan disebabkan masalah teknikal, secara peribadinya dia telah membuktikan kepada semua bahawa seorang anak muda mampu memadam rekod 17 tahun acara 100 meter milik Watson Nyambek.
![Rabuan (enam, kiri) selepas merasmikan Acara Sukan Tahunan Ke-30 Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah, Segamat](https://segamat.com.my/wp-content/uploads/2016/05/Rabuan-enam-kiri-selepas-merasmikan-Acara-Sukan-Tahunan-Ke-30-Sekolah-Kebangsaan-SK-Kampung-Tengah-Segamat.jpg)
“Sekiranya dia (Badrol) diberi perhatian dan menerima latihan yang sistematik daripada pihak yang bertanggungjawab, saya yakin pasukan negara mampu meraih pingat emas dalam acara olahraga,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Acara Sukan Tahunan Ke-30 Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, selain itu, pihak kejurulatihan perlu memastikan prestasi atlet berbakat seperti pelari muda berusia 18 tahun itu sentiasa berada pada tahap terbaik terutamanya dalam aspek kecergasan.
“Saya harapkan mereka yang ada jawatan dalam pembangunan sukan negara mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik kerana kita mempunyai satu halatuju iaitu untuk membangunkan sukan negara.
“Pada zaman saya, kebanyakan atlet yang berjuang tidak memikirkan soal imbuhan kerana ketika itu kami berjuang atas semangat patriotik kepada negara dan sebagai bekas atlet, saya tidak cemburu dengan imbuhan yang diberi kepada atlet sekarang,” katanya.
Pada masa sama, beliau yang juga Penolong Pengarah Pengurusan (Kebajikan) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, PDRM tetap menjaga kebajikan atlet bina badan negara, Sazali Samad walaupun beliau berdepan penggantungan selama empat tahun.
Katanya, program ‘Trim and Fit’ yang dilancarkan bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan pegawai dan anggota polis juga diharap mampu mencungkil bakat sukan baharu dalam PDRM.
“Selain Sazali Samad, saya berharap ada lebih ramai lagi bakat yang dicungkil oleh PDRM kerana kita ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa sebagai pasukan keselamatan, kami juga mampu menyerlah dalam bidang sukan,” katanya.
Comments