SEGAMAT – Polis daerah ini menahan enam kanak-kanak dan remaja lelaki berusia antara 10 hingga 15 tahun terbabit dengan aktiviti menunggang basikal lajak di Kilometer 6 Kampung Jawa-Felda Medoi, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, kesemua penunggang basikal lajak itu ditahan sewaktu rondaan cegah jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat yang disertai oleh dua pegawai dan enam anggota.

“Enam penunggang basikal lajak itu bersama basikal mereka kemudian dibawa ke Pejabat Trafik IPD Segamat sebelum kami menghubungi kesemua ibu bapa mereka untuk siasatan lanjut.

“Pihak trafik kemudian mengambil tindakan mengeluarkan enam saman Pol 257 atas kesalahan mengikut Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana ubahsuai tiada brek dan loceng,” katanya dalam sidang media di Pejabat Trafik IPD Segamat.

Menurutnya, selepas rakaman percakapan diambil, semua penunggang basikal lajak berkenaan dibebaskan dan diserahkan semula kepada ibu bapa dan ahli keluarga masing-masing.

Katanya, semua butir ibu bapa remaja ditahan itu turut direkodkan dan diberi penerangan perihal penahanan serta tindakan yang diambil oleh pihak polis.

“Kami juga turut menasihati ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak dan sebelum ini kami memang ada menerima aduan daripada orang awam sama ada secara bertulis dan melalui media sosial mengenai aktiviti basikal lajak ini.

“Kes ini merupakan kes pertama yang diambil tindakan berkaitan basikal lajak dan kita akan meneruskan rondaan secara berkala bagi memastikan aktiviti ini berkurangan dan tidak mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

(Visited 1,655 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!