SEGAMAT – Seramai 68 pelajar dari empat sekolah di daerah ini telah dipilih oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk menjalani Program Tuisyen Rakyat khusus kepada anak-anak pekebun kecil yang tinggal di luar bandar.
Zahari Sarip berkata, sekolah yang terpilih untuk menjalankan program yang memasuki tahun ke 10 itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Jementah, SMK Bandar Putra, SMK Datuk Ahmad Arshad dan SMK Kamarul Ariffin.
“Risda telah memperuntukan sebanyak RM50,000 kepada empat sekolah tersebut dan setiap sekolah ini akan menerima bantuan sebanyak RM12,500 dan bayaran akan dilakukan secara bulanan sebanyak RM1,250 daripada Januari sehingga Oktober.
“Tumpuan diberikan kepada subjek-subjek teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Sejarah yang bertujuan untuk meningkatkan pencapaian pelajar luar bandar dalam bidang pendidikan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Motivasi Tuisyen Rakyat Peringkat Daerah Segamat 2017 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, di sini.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Risda Negeri Johor, Ahmad Fahmi Shukor,; Pegawai Risda Segamat, Nor Afzami Isa dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Fauzi Sabran.
Menurutnya, peruntukan yang diberikan oleh Risda untuk program pendidikan seperti ini turut membuktikan agensi terbabit peka dengan kepentingan pendidikan anak-anak pekebun kecil di luar bandar.
Katanya, inisiatif yang dilakukan oleh Risda ini juga seharusnya dipuji kerana tidak hanya dikenali sebagai sebuah agensi membangunkan pekebun kecil dari segi pengurusan ladang malah turut mementingkan pendidikan anak-anak pekebun kecil.
Pada masa sama, program ini merupakan penjenamaan semula daripada Program Tuisyen Desa Risda sebelum ini dan di negeri Johor sahaja terdapat 29 sekolah bertaraf luar bandar yang menerima bantuan tuisyen ini dengan peruntukan sebanyak RM362,500.
“Pelaksanaan progam ini secara khususnya menyasarkan pelajar berprestasi sederhana dan lemah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah kurang daripada RM3,500 sebulan yang akan menduduki peperiksaan SPM.
“Sasaran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui agensi-agensi di bawahnya termasuk Risda ini adalah untuk menyediakan sekurang-kuragnya satu Pusat Tuisyen Rakyat@KKLW bagi setiap parlimen,” katanya.
Menurutnya, kejayaan program ini juga bergantung kepada komitmen semua pihak yang terlibat, termasuk ibu bapa yang perlu memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka menghadiri tuisyen berkenaan dan menyiapkan tugasan yang diberikan.
Comments