LABIS – Empat keluarga termasuk seorang warga emas di Jalan Hoe Peng, Bekok, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa yang didiaminya sejak lima tahun lalu musnah dalam kebakaran.
Sarmin Kamsi, 73, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, hanya dua cucunya, Fatin Farhana Abdullah, 13, dan Muhammad Haikal Akmal, 7, yang berada di rumah manakala dia bersama anaknya, Diana, 34, keluar bekerja di sebuah kedai makan di Bekok, di sini.
“Ketika kejadian, Fatin baharu sahaja pulang dari sekolah manakala adiknya bermain di luar rumah dan sewaktu dia (Fatin) hendak makan di dapur, dia terhidu bau asap dan pada awalnya menyangka jiran sebelah rumah pak cik sedang membakar sampah.
“Bagaimanapun, bau asap tersebut semakin kuat dan disusuli bunyi letupan sebelum Fatin melihat api di bahagian dapur rumah sewa kami sebelum meminta bantuan jiran-jiran untuk memadamkan api,” katanya.
Dia ditemui semasa menerima lawatan Mohd Azahar Ibrahim di Ladang Gunung Mas, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, dia dan anaknya yang bekerja di kedai makan yang sama hanya mengetahui kejadian malang tersebut selepas diberitahu oleh salah seorang jirannya sebelum bergegas pulang.
“Sewaktu pak cik sampai, api sedang marak dan pasukan bomba sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran dengan dibantu oleh jiran-jiran dan pak cik dan perkara pertama yang terlintas di fikiran pak cik ketika itu adalah keselamatan cucu-cucu pak cik.
“Pak cik lihat rumah sewa kami rentung begitu sahaja di depan mata dan tidak ada barang yang berjaya diselamatkan termasuk dokumen-dokumen penting saya, anak serta cucu dan kami sekarang tinggal sehelai sepinggang,” katanya.
Menurutnya, struktur rumah sewanya yang dibina separuh kayu dan batu itu juga turut menyebabkan api marak sekelip mata selain telah memaklumkan kejadian tersebut kepada pemilik rumah.
Katanya, untuk sementara ini, dia bersama anak dan cucu-cucunya terpaksa menumpang di rumah menantunya, Shah Ridzuan Shamsudin, 35, di kuarters pekerja Ladang Gunung Mas, di sini, sehingga semua keadaan kembali normal.
“Selepas kejadian ini, ramai pihak yang datang menghulur sumbangan dan ini sedikit sebanyak meringankan beban pak cik dan pak cik kalau boleh tidak mahu susahkan sesiapa termasuk menantu dan anak.
“Sehingga sekarang, punca kebakaran masih belum diketahui dan pak cik juga belum menganggarkan jumlah kerugian dan laporan polis juga telah dibuat pada hari yang sama dan telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Comments